SHAH ALAM, 21 JUN: Pemain golf profesional negara, Gavin Green diberi peranan membantu mencungkil dan membentuk bakat baharu menerusi Program Pembangunan Sukan Golf Negeri Selangor bagi melahirkan lebih ramai pemain berdaya saing di pentas lebih tinggi.
Surat pelantikan kepada Gavin diserahkan pada Majlis Penyerahan Kontrak Kerjasama dan Surat Pelantikan Program Pembangunan Sukan Golf Negeri Selangor sempena penutup Kejohanan Selangor Amateur Open 2026 di Bukit Beruntung Golf & Country Resort, semalam.
Selain Gavin, kerjasama pembangunan itu turut melibatkan pemain profesional Shariffudin Ariffi dan Mohd Amir Nazrin bagi membimbing bakat muda serta membantu meningkatkan prestasi pemain golf Selangor.
Pada majlis sama, PKNS Golf Management & Services turut mengumumkan penubuhan PKNS Elite Team sebagai platform memperkasakan pembangunan bakat golf negeri secara lebih menyeluruh.
Program pembangunan selama setahun itu akan melibatkan seramai 20 pemain golf berbakat yang dipilih untuk mengikuti latihan secara berstruktur di bawah kendalian Kelab Golf Negeri Selangor.
Inisiatif berkenaan dilaksanakan menerusi Jawatankuasa Tabung Amanah Sukan Golf Negeri Selangor dengan kerjasama PKNS Golf Management & Services.
Majlis disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.
Program itu dijangka menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan lebih ramai pemain golf berpotensi yang mampu mengharumkan nama Selangor pada masa depan.







