SHAH ALAM, 27 APRIL: Penganjuran acara golf jemputan yang menjadi kelaziman Sukan Malaysia (SUKMA) dicadang dibatalkan bagi menjimatkan kos penganjuran temasya dwitahunan itu.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang Abbas Azmi yang juga Ketua Kontinjen SUKMA Selangor berkata penganjuran SUKMA 2026 perlu dilaksana secara berhemah dengan penambahbaikan terutama daripada segi kos penganjurannya.
“Setiap kali SUKMA kita anjurkan golf jemputan yang melibatkan semua VVIP dari kontinjen. Seri Serdang mencadangkan golf jemputan ini dibatalkan bagi 2026 ini juga dapat menjimatkan kos penganjuran pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perbahasan Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Selain itu, beliau turut mencadangkan tumpuan ditumpukan kepada penganjuran acara sukan selain upacara pembukaan tidak perlu dengan kadar mewah.
“Sebelum ini dicadangkan upacara pembukaan SUKMA dibuat di Litar Antarabangsa Sepang, tetapi dicadangkan diubah ke Stadium MBPJ dengan kadar sederhana.
“Tidak perlu pertunjukkan bunga api atau persembahan dron yang menelan belanja besar begitu juga upacara penutup yang sederhana di stadium sama dengan kos lebih rendah.
“Persembahan sampingan dilibatkan anak-anak Selangor di sekolah dan anak-anak di institut pengajian tinggi (IPT) tempatan. Ramai dalm kalangan mereka berbakat dan aktif dalam bidang kesenian dan tiada keperluan persembahan oleh artis ternama,” katanya.

Abbas turut mencadangkan lebihan penjimatan upacara pembukaan itu digunakan untuk menambah insentif atlet Selangor yang berjaya merangkul pingat terutama emas selain boleh digunakan bagi tujuan lain.
“Selain itu, penggunaan digital sepenuhnya untuk sebarang perkara yang memerlukan catatan dan hebahan menggunakan digital dan tanpa kertas yang mengurangkan kos penggunaan kertas serta kos melupuskan sisa kertas.
“Pendigitalan juga boleh merangkumi tiket bagi menonton kejohanan dengan menggunakan kod QR selain pendaftaran atlet dan kontinjen juga menggunakan digital,” katanya.
Selain itu, bagi menjimatkan penggunaan bahan api seperti petrol dan diesel, kenderaan rasmi kontinjen juga dicadang menggunakan kenderaan elektrik (EV).
Abbas sebelum ini berkata penganjuran SUKMA yang diteruskan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Sha Alhaj diyakini menyuntik semula semangat atlet negeri ini untuk mempamerkan prestasi terbaik.
Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari memaklumkan Sultan Selangor memberi perkenan agar SUKMA 2026 diteruskan secara berhemah dan berjimat cermat selepas mendengar taklimat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Khamis lalu.
Sehubungan itu, beliau berkata Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dijadualkan pada Khamis, 30 April ini akan dimanfaatkan Sekretariat SUKMA Selangor 2026 untuk membentangkan status terkini persiapan, khususnya langkah penjimatan yang akan dilaksanakan selaras dengan perkenan Tuanku Sultan.
Pada 20 April, Baginda mencadangkan penganjuran SUKMA Selangor 2026 ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.
Sultan Sharafuddin bertitah cadangan itu dibuat berikutan penganjuran temasya dwitahunan tersebut memerlukan peruntukan tinggi dalam keadaan ekonomi semasa.
SUKMA edisi ke-22 dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala Para SUKMA pula dari 5 hingga 10 September.
Sebanyak 474 acara daripada 37 jenis sukan dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 52 venue, manakala Para SUKMA melibatkan 10 jenis sukan dan 316 acara.








