Acara sukan antarabangsa dorong pertumbuhan pelancongan Selangor 2025

28 Jan 2026, 9:08 AM
Acara sukan antarabangsa dorong pertumbuhan pelancongan Selangor 2025

PETALING JAYA, 28 JAN: Selangor mencatatkan lapan juta pelancong sepanjang 2025, menunjukkan sektor pelancongan negeri berada pada landasan positif dan mempunyai potensi untuk terus berkembang.

Dato' Menteri Besar berkata, penganjuran sukan secara konsisten seperti Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Selangor (SIJGC) dan PKNS Selangor Masters memberi sumbangan signifikan dalam menyokong pertumbuhan pelancongan negeri.

"Pengalaman sepanjang tahun lalu menunjukkan sebahagian pelancong yang datang ke Selangor berpotensi untuk kembali semula, termasuk mereka yang terlibat secara langsung dalam sektor hospitaliti dan pelancongan sukan.

“Acara sukan bertaraf antarabangsa ini selaras dengan Tahun Melawat Selangor (TMS) dan Tahun Melawat Malaysia (TMM) bagi meningkatkan kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian pada sidang media SIJGC dan PKNS Selangor Masters 2026 yang berlangsung di Kelab Golf Seri Selangor, di sini hari ini.

Amirudin berkata, acara sukan di Selangor turut menarik pemain dan pelancong asing dari Korea, Jepun, Eropah dan negara jiran, sekaligus mengukuhkan kedudukan negeri sebagai destinasi pelancongan sukan.

"Acara yang dianjurkan bukan sekadar aktiviti sukan, sebaliknya melibatkan elemen pelancongan sukan yang merangkumi sektor hospitaliti dan pelbagai industri sokongan lain.

"Kehadiran pelancong asing ini membuktikan tarikan Selangor sebagai destinasi pelancongan sukan. Penganjuran kejohanan seperti ini akan terus menambah minat pelancong untuk datang ke Selangor," katanya.

Kerajaan Negeri menyasarkan lapan juta kehadiran pelancong ke Selangor dengan nilai transaksi RM11.7 bilion sempena TMS2025.

Bagi tahun ini, Selangor menyasarkan sembilan juta kehadiran pelancong sempena TMS 2026, selari dengan sasaran nasional 47 juta ketibaan pelancong bagi TMM 2026, disokong prestasi positif sektor pelancongan negeri.