Tiga maut termasuk kanak-kanak, enam cedera dalam nahas tiga kenderaan

20 Jun 2026, 1:11 AM
Tiga maut termasuk kanak-kanak, enam cedera dalam nahas tiga kenderaan

KUANTAN, 20 JUN: Tiga termasuk seorang doktor maut manakala enam lagi cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di KM 67 Jalan Kuantan-Segamat dekat Pekan, semalam.

Ketua Polis Daerah Pekan Superintenten Mohd Zaidi Mat Zain berkata kemalangan kira-kira jam 6 petang itu, mengakibatkan dua pemandu kenderaan Dr Mohamad Zekry Zuhairy Mohd Atan, 33, yang bertugas di Hospital Segamat, Johor dan pegawai kanan di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cyberjaya, Selangor Azaharuddin Mohd Ali, 46, maut di lokasi kejadian.

Beliau berkata anak kepada Dr Mohamad Zekry Zuhairy, Dhea Sofia yang berusia dua tahun meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Chini.

Mohd Zaidi berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian, kenderaan yang dipandu pegawai perubatan dan pegawai kanan LHDN itu dalam perjalanan dari arah Segamat menghala ke Kuantan.

“Ketika di lokasi kejadian, sebuah pikap yang dari arah Kuantan menghala ke Muadzam Shah, dipercayai cuba memotong sebuah lori telah terlanggar lopak air, sebelum hilang kawalan serta memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan dua kenderaan itu,” katanya menerusi kenyataan.

Mohd Zaidi berkata kemalangan itu turut mengakibatkan tiga penumpang kereta iaitu isteri, ibu dan bapa mentua Dr Mohamad Zekry Zuhairy, cedera.

Turut cedera penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) iaitu isteri dan anak lelaki Azaharuddin serta pemandu pikap berusia 31 tahun.

Mohd Zaidi berkata semua mangsa yang cedera dirawat di Hospital Pekan.

“Mangsa yang meninggal dunia dalam nahas itu, dihantar ke hospital sama untuk proses bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.