SHAH ALAM, 20 JUN: Tabika KEMAS di Kem Briged PGA Cheras menerima peruntukan RM20,000 daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua bagi melaksanakan kerja penambahbaikan kemudahan di premis berkenaan.
Datuk Johan Abd Aziz berkata, kerja baik pulih itu diperlukan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pelajar sepanjang proses pembelajaran di tabika tersebut.
Beliau berkata, beberapa kemudahan dikenal pasti memerlukan perhatian segera termasuk keadaan padang yang tidak lagi sesuai digunakan kanak-kanak.
Selain itu, kawasan permainan juga memerlukan penambahbaikan bagi menyediakan persekitaran yang lebih selamat dan kondusif kepada pelajar.
Johan berkata, bumbung bangunan turut memerlukan kerja pembaikan bagi menjamin keselesaan warga tabika ketika menjalani aktiviti harian.
“Bagi membantu keperluan yang mendesak, saya memperuntukkan RM20,000 untuk kerja penambahbaikan di Tabika KEMAS.
“Saya juga akan membawa perkara lain yang memerlukan perhatian kementerian dan agensi bertanggungjawab agar tindakan susulan dapat dipertimbangkan demi kebajikan warga Kem Briged PGA Cheras dan keluarga mereka, Insya Allah,” katanya menerusi Facebook.







