KUALA LANGAT, 5 JAN: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Selangor merancang membuka lebih banyak Taman Bimbingan Kanak-kanak (tabika) melalui kerjasama agensi kerajaan dan sektor swasta bagi menampung permintaan tinggi.
Pengarah KEMAS Selangor Noor Azman Ab Rahman berkata ketika ini seramai kira-kira 27,000 murid berusia lima hingga enam tahun mengikuti pendidikan prasekolah di lebih 800 premis KEMAS, sekali gus memaksa pelaksanaan dua sesi di beberapa lokasi.

“Kekangan utama ialah kekurangan ruang sedangkan permintaan ibu bapa sangat tinggi, khususnya kerana yuran KEMAS yang rendah bagi membantu keluarga berpendapatan rendah.
“Oleh itu, KEMAS bekerjasama dengan agensi kerajaan termasuk Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) serta pihak swasta dengan meneliti pembangunan baharu bagi menyediakan ruang pembukaan tabika,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis meraikan kejayaan KEMAS Selangor yang dinobatkan juara keseluruhan Hari Potensi Kanak-kanak sempena Festival KEMAS 2025, di sini.
Dalam perkembangan sama, Noor Azman berkata semua guru KEMAS di Selangor telah mengikuti kursus pemahaman kurikulum prasekolah baharu yang akan dilaksanakan bermula tahun ini, lebih awal daripada perancangan asal pada 2027.
“KEMAS bersedia melaksanakan kurikulum baharu mengikut modul ditetapkan Kementerian Pendidikan bagi memastikan kesiapsiagaan murid prasekolah,” katanya.
Semalam, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memaklumkan pelaksanaan kurikulum prasekolah baharu dipercepatkan bagi menyelaras persediaan murid dengan sesi persekolahan baharu.


