Tiga wanita disyaki ejen pertaruhan Piala Dunia 2026 ditahan

19 Jun 2026, 7:29 AM
Tiga wanita disyaki ejen pertaruhan Piala Dunia 2026 ditahan

SHAH ALAM, 19 JUN: Tiga wanita disyaki bertindak sebagai ejen pertaruhan bola sepak Piala Dunia FIFA 2026 ditahan polis menerusi tiga operasi berasingan di Kuching semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, mereka ditahan pasukan Cawangan D7, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

Beliau berkata, operasi berkenaan turut membawa kepada rampasan beberapa barang kes termasuk telefon bimbit, dokumen berkaitan pertaruhan, peralatan yang dipercayai digunakan bagi aktiviti perjudian serta wang tunai.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek yang ditahan berusia antara 25 hingga 45 tahun membabitkan seorang warga tempatan dan dua warga asing.

“Hasil ujian saringan air kencing terhadap ketiga-tiga suspek didapati negatif dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

Alexson berkata, siasatan awal mendapati kegiatan itu dijalankan menggunakan platform dalam talian yang dipercayai menawarkan pertaruhan bola sepak Piala Dunia FIFA 2026.

Katanya, kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM50,000 serta penjara sehingga tiga tahun,” katanya.

Beliau turut memaklumkan dua suspek warga asing disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana dipercayai melakukan kesalahan berkaitan dokumen perjalanan dan kemasukan ke negara ini.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya selain sebatan tidak melebihi enam kali jika disabitkan kesalahan.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.