Perasaan risau menyelubungi sanubari Nur Amani Nasuha Muhammad Ashraf untuk menceburi sukan bola sepak. Manakan tidak, pada usia 10 tahun beliau baru meneroka peluang untuk beraksi di peringkat kelab.
Walaupun dianggap lewat, berbekal doa ibu bapa, gadis berusia 12 tahun itu tidak patah semangat dan sentiasa berfikiran positif untuk memenuhi impiannya menceburi sukan bola sepak yang sinonim dengan lelaki.
Selepas beberapa percubaan, sagu akhirnya kelihatan sekalipun hampas ruyung pokok rumbia berserakan. Nur Amani Nasuha (baju hijau) atau mesra dengan panggilan Amani akhirnya terpilih menyertai pasukan Selangor FC (SFC) wanita bawah 12 tahun.
Dalam tempoh setahun, beliau mewakili Akademi Tunas Kuala Lumpur dan Putrajaya di peringkat karnival kebangsaan pada 2025, seterusnya bergelar pemain kumpulan pertama SFC wanita bawah 12 ketika ini. Sejak itu beliau tidak lagi menoleh ke belakang.
“Tanpa teknik asas yang kukuh, saya mungkin tidak boleh melangkah jauh. Saya perlu tingkatkan usaha untuk menguasai teknik dan kemahiran kerana memasang impian untuk menjadi pemain profesional seterusnya mengharumkan nama negara satu hari nanti,” katanya kepada Media Selangor.

Pembabitan sepupunya, Batrisyia Faliha Mohd Faizal (baju merah) yang juga pemain skuad wanita elit SFC turut memberi pengaruh besar kepada anak sulung daripada tiga beradik itu menceburi dunia bola sepak.
Amani mengakui pelajaran tetap menjadi keutamaan. Pesan ibu bapa supaya menyeimbangkan antara akademik dan sukan menjadikannya kini lebih bijak mengatur masa.
“Perjalanan jarak pusat latihan dan rumah agak jauh, jadi di sekolah, saya akan tumpukan perhatian dan cuba tidak membawa kerja sekolah ke rumah.
“Jadual di sekolah pun agak padat memandangkan saya juga mewakili sekolah untuk olahraga dan bola jaring. Selain itu, saya juga aktif menyertai forum dan pidato sehingga mewakili sekolah tahun lalu,” katanya yang berharap pembabitanya bersama SFC terus dapat berkembang bagi mengharumkan nama Selangor di mata dunia.

Lahirkan bakat baharu
Ketua Jurulatih SFC wanita bawah 12, Nurul Nadirah Abdul Lateh berkata penubuhan pasukan berkenaan sebahagian usaha pembangunan bola sepak wanita di peringkat negeri.
Menurutnya, 2025 adalah tahun terakhir Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) sebelum Majlis Sukan Negara dan Persatuan Bolasepak Malaysia memberi kuasa penuh kepada negeri untuk mengendalikan program pembangunan masing-masing menerusi akademi bola sepak negeri.
“Sebelum ini kami hanya mempunyai pasukan senior dan sejak dua tahun lalu diwujudkan pula skuad bawah 16 tahun. Tahun ini adalah permulaan bagi pasukan bawah 12 tahun.
“Di peringkat ini, kami memberi penekanan kepada latihan asas seperti sentuhan pertama, gelecek dan hantaran bola kerana objektif utama skuad bawah 12 bukan sahaja membentuk kemahiran teknikal tetapi juga karakter serta mentaliti pemain,” katanya.

Beliau berkata asas yang kukuh amat penting supaya pemain mampu berkembang ke peringkat lebih tinggi pada masa hadapan selain memastikan kesinambungan pemain pelapis dalam bola sepak wanita Selangor.
“Disiplin dan sikap pemain turut diberi perhatian dalam setiap latihan dan kami akan memantau perkembangan mereka dalam tempoh tiga tahun bagi menentukan sama ada mereka layak diserap ke pasukan elit.
“Pembangunan pada peringkat akar umbi amat penting supaya kita tidak kehilangan kualiti pemain apabila mereka meningkat usia,” katanya.







