SHAH ALAM, 19 JUN: Kerajaan Selangor menawarkan rebat cukai taksiran sehingga 100 peratus bagi pemasangan bumbung panel solar di kawasan perumahan sebagai langkah menggalakkan rakyat memanfaatkan teknologi hijau dan mampan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata insentif itu turut merangkumi pemasangan sistem penuaian air hujan, proses kitar semula, sistem pengkomposan sisa makanan serta unit pengecasan kenderaan elektrik.
Menurut beliau, usaha berkenaan selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk mempercepat peralihan ke arah pembangunan rendah karbon dan mencapai matlamat negeri neutral karbon pada masa hadapan.
“Setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menyediakan dana antara RM100,000, RM200,000 dan RM1.5 juta mengikut peringkat Majlis Daerah, Majlis Perbandaran, dan Majlis Bandaraya.
“Ia untuk manfaat rakyat mengikut proses permohonan yang akan diselaraskan dan dipermudahkan untuk urusan di peringkat PBT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 pada Sidang Khas Dewan Negeri Selangor di Dewan Annex, pagi tadi.
Menurutnya lagi, krisis bekalan global ini telah memperlihatkan kepentingan untuk Selangor segera beralih kepada industri tenaga yang bersih dan mampan.
“Waima demikian, Kerajaan Negeri turut memahami bahawa faktor kos boleh menjadi kekangan kepada rakyat Selangor untuk memasang fasiliti ini di rumah mereka,” ujarnya.
Terdahulu, Amirudin ketika membentangkan pakej itu memaklumkan Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM355.06 juta menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 dan Fasa 2 bagi mendepani krisis bekalan susulan konflik di Asia Barat.
Beliau berkata daripada jumlah tersebut, RM145.8 juta diperuntukkan bagi Fasa 1 yang sedang dilaksanakan menerusi tujuh inisiatif.
Menurutnya, RM209.26 juta lagi diperuntukkan bagi Fasa 2 yang merangkumi 15 inisiatif baharu yang diumumkan hari ini.










