SHAH ALAM, 19 JUN: Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM20 juta menerusi menerusi inisiatif Pembiayaan Dana Pantas Usahawan bagi membantu usahawan memulakan atau mengembangkan perniagaan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri memperkenalkan pembiayaan tanpa faedah sehingga RM10,000 dengan tempoh bayaran balik hingga tiga tahun.
“Sebahagian besar daripada ekonomi Selangor terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana, dan kebanyakan syarikat ini bermula di peringkat usahawan kecil.
“Dengan kombinasi usaha Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) dan Platform Selangor (PLATS), Kerajaan Negeri bakal memperkenalkan pembiayaan ini agar lebih ramai warga Selangor boleh menceburi bidang keusahawanan,” katanya ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Amirudin menambah bantuan tersebut bakal memanfaatkan 2,000 usahawan yang berdaftar melalui aplikasi digital DANA PLUS yang dikendalikan Hijrah Selangor.
Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan 6,000 usahawan yang mempunyai pinjaman dengan Hijrah Selangor boleh memohon untuk membuat penstrukturan semula tanpa faedah tambahan atau caj penalti bagi menjamin kelangsungan perniagaan.
“Bagi usahawan yang sedang menghadapi kesan bekalan global dan mungkin mengalami penurunan prestasi perniagaan, Kerajaan Negeri turut mewujudkan pilihan untuk para usahawan menstrukturkan semula pinjaman melalui Yayasan Hijrah,” katanya lagi.
Pada 16 April lalu, Kerajaan Negeri memperkenalkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dengan peruntukan RM131 juta sebagai langkah segera bagi mengurangkan kesan ketidaktentuan ekonomi global dan gangguan bekalan susulan krisis geopolitik di Asia Barat.
Pakej fasa pertama yang bermula Jun ini memberi tumpuan kepada keterjaminan bekalan makanan, sokongan kepada sektor pertanian dan agromakanan, kawalan kos sara hidup, bantuan pengangkutan awam serta inisiatif pemakanan dan kebajikan pelajar.
Menurut Amirudin, pakej yang menyediakan bantuan bersasar kepada golongan rentan itu menggunakan peruntukan negeri dalam Belanjawan 2026 yang disusun semula mengikut keperluan semasa.







