PELABUHAN KLANG, 18 JUN: Krisis Asia Barat tidak menjejaskan penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026 yang dijadual berlangsung pada Oktober ini.
EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han berkata sidang kemuncak itu, yang dianjurkan sejak 2015, kekal menjadi platform penting untuk negara dan syarikat antarabangsa bertukar pandangan serta berkongsi pengalaman dalam pelbagai sektor ekonomi.
“Saya yakin sambutan itu cukup baik kerana sesi promosi di negara-negara jiran khususnya di kawasan di negara rantau ASEAN ini telah bermula dan dua minggu lagi kami akan ke Bandung, Indonesia.
“Walaupun itu merupakan sub program daripada SIBS yang akan dianjurkan pada bulan Oktober tetapi ia juga merupakan satu sesi promosi untuk dedikasi kita untuk mempromosikan SIBS yang akan datang pada bulan Oktober.
“Bagi krisis di Asia Barat, saya rasa ia tidak akan datangkan impak besar tetapi ia merupakan satu platform yang bagus di mana kita boleh berkongsi pengalaman atau pun apa-apa yang kita rasa mungkin penting untuk dikongsikan bersama semua syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah ke IKEA Supply Malaysia Sdn. Bhd. di Taman Perindustrian Pulau Indah (Fasa 3) hari ini.
Tambah beliau, sidang kemuncak itu memberi peluang kepada pihak berkepentingan untuk berkongsi pandangan dan menyampaikan mesej secara terus kepada syarikat yang terlibat.
Penganjuran SIBS kali ini menyasarkan melepasi nilai potensi transaksi perniagaan RM8.17 bilion tahun lalu. Menerusi edisi ke-10, SIBS akan memperkenalkan tiga tonggak baharu yang direka khusus untuk memperkukuh ekosistem pelaburan pelbagai sektor di negeri itu.
Tonggak pertama ialah Sidang Kemuncak Selangor Techsphere yang dianjurkan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) dengan kerjasama Hannover Fairs Asia Pacific (anak syarikat Deutsche Messe AG yang terkenal di seluruh dunia bagi menumpukan kepada bakat teknikal dan inovasi perindustrian.
Tonggak kedua pula Sidang Kemuncak Kecerdasan Buatan (AI) dan Semikonduktor Selangor yang dianjurkan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC).
Manakala tonggak ketiga pula ialah Ekspo Penjagaan Antarabangsa Selangor yang dianjurkan oleh Wanita Berdaya Selangor (WBS).
SIBS merupakan program anjuran Invest Selangor yang bakal memperluas jejak serantaunya menerusi penganjuran edisi sulung SIBS@ASEAN di Bandung pada 9 dan 10 Julai nanti.
Pemilihan Bandung sebagai lokasi penganjuran dibuat berdasarkan profil ekonominya yang hampir menyerupai peranan Selangor sebagai pemacu utama ekonomi negara.
Sebanyak 50 syarikat tempatan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (IKS) akan dibawa menyertai SIBS@ASEAN bagi meneroka peluang ekonomi lebih luas di peringkat serantau.







