LABUAN, 17 JUN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang di Sungai Ganggarak Permai di sini petang tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan Abdul Rahman Ali berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6.36 petang.
Beliau berkata bomba mengesahkan mangsa sebagai Putra Faris Suhaimi, berusia lapan tahun.
Abdul Rahman berkata sebanyak 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Layangan digerakkan ke lokasi kejadian dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan setakat 9 malam.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mengesahkan laporan orang awam bahawa seorang kanak-kanak dikhuatiri lemas di sungai berkenaan, namun masa sebenar mangsa dilaporkan hilang masih belum disahkan.
“Komander operasi segera memulakan SAR dengan anggota menjalankan pencarian di permukaan air dalam usaha mengesan mangsa,” katanya kepada Bernama hari ini.
Abdul Rahman berkata operasi itu melibatkan sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT), sebuah kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah kenderaan Hilux Bantuan Asas Hayat (BLS).
Beliau berkata anggota polis dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Tanjung Aru turut membantu operasi berkenaan.









