Sisa elektronik haram ancam kesihatan, cemar tanah, sumber air

17 Jun 2026, 11:00 AM
Sisa elektronik haram ancam kesihatan, cemar tanah, sumber air
Sisa elektronik haram ancam kesihatan, cemar tanah, sumber air
Sisa elektronik haram ancam kesihatan, cemar tanah, sumber air
Sisa elektronik haram ancam kesihatan, cemar tanah, sumber air
Sisa elektronik haram ancam kesihatan, cemar tanah, sumber air

SHAH ALAM, 17 JUN: Lambakan sisa elektronik atau e-sisa yang tidak dilupuskan mengikut peraturan boleh mengundang pelbagai risiko penyakit kepada orang ramai selain menjejaskan alam sekitar.

Penyakit seperti buah pinggang, sistem saraf, gangguan pernafasan serta risiko penyakit kronik antara kesan terhadap kesihatan manusia jika aktiviti pelupusan e-sisa itu tidak diurus dengan betul.

Kebanyakan sisa elektronik itu mengandungi bahan toksik dan logam berat seperti plumbum, merkuri, kadmium serta bahan kimia berbahaya lain.

Selain golongan dewasa, kanak-kanak juga turut menerima tempias apabila bahan dalam sisa elektronik itu boleh menjejaskan perkembangan mereka.

“Lambakan sisa elektronik memberi kesan serius terhadap kesihatan manusia sekiranya tidak diuruskan dengan betul.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin bercakap kepada media selepas majlis pelancaran AED dan sesi latihan penggunaan AED di Restoran Golden Kim Wah, Damansara Kim, Petaling Jaya pada 16 Mei 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

"Mereka yang terlibat secara langsung dalam aktiviti pelupusan atau pemperosesan haram itu adalah golongan berisiko tinggi," kata EXCO Kesihatan kepada Media Selangor.

Jamaliah Jamaluddin berkata, pelupusan sisa elektronik secara tidak terkawal bukan saja menjejaskan kesihatan manusia tetapi turut mencemarkan tanah, sungai dan sumber air bawah tanah.

"Mereka yang terdedah kepada bahan seperti plumbum, merkuri dan kadmium ini boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti gangguan sistem pernafasan, kerosakan buah pinggang, gangguan sistem saraf, masalah perkembangan kanak-kanak serta meningkatkan risiko penyakit kronik," katanya.

Beliau menambah, pembakaran terbuka sisa elektronik menghasilkan asap serta bahan cemar berbahaya yang menjejaskan kualiti udara seterusnya menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

“Lambakan sisa elektronik termasuk yang dibawa masuk secara haram dari luar negara memberi tekanan kepada sistem pengurusan sisa negara dan menjejaskan usaha kerajaan dalam memastikan pembangunan mampan serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, Jamaliah berkata peningkatan penggunaan peranti elektronik dalam kehidupan harian serta jangka hayat peralatan yang semakin pendek menyebabkan sisa elektronik terus menjadi tumpuan.

Justeru katanya, Kerajaan Negeri bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan termasuk Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta agensi penguatkuasaan lain bagi menangani kemasukan sisa elektronik secara haram demi melindungi kesihatan awam dan alam sekitar untuk generasi akan datang.

"Komitmen ini penting kerana isu sisa elektronik bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan awam dan alam sekitar, malah turut memberi implikasi kepada ekonomi negara dan negeri.

"Pengurusan sisa elektronik secara haram boleh meningkatkan kos penguatkuasaan, pembersihan kawasan tercemar dan rawatan kesihatan awam akibat pencemaran serta menjejaskan imej Malaysia dan Selangor sebagai destinasi pelaburan yang mampan dan selamat," katanya.

Risiko penyakit kepada manusia jika sisa elektronik tidak diurus dengan betul:

1) Buah pinggang

2) Sistem saraf

3) Gangguan sistem pernafasan

4) Masalah perkembangan kanak-kanak

5) Meningkatkan risiko penyakit kronik

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.