Thailand salur pampasan RM80,000 kepada mangsa letupan Tak Bai

3 Jul 2026, 3:15 PM
Thailand salur pampasan RM80,000 kepada mangsa letupan Tak Bai

NARATHIWAT, 3 JULAI: Kerajaan Thailand menyampaikan pampasan berjumlah 650,000 baht (kira-kira RM80,000) kepada seorang daripada dua rakyat Malaysia yang cedera dalam kejadian letupan bom di Daerah Tak Bai pada 29 Jun lalu.

Gabenor Narathiwat Boonchuay Homyamyen berkata Kerajaan Thailand amat kesal dengan kejadian yang menyebabkan dua rakyat Malaysia itu cedera dan memberi jaminan akan terus memperkukuh langkah keselamatan bagi melindungi penduduk serta pelancong.

"Kami tidak akan berdiam diri. Kerajaan Thailand komited memastikan keselamatan semua pihak dan akan terus berusaha memulihkan keyakinan pelancong untuk berkunjung ke Thailand," katanya kepada pemberita di sini.

Boonchuay berkata pampasan berkenaan disalurkan menerusi dana Kerajaan Thailand bagi membantu mangsa insiden berkaitan keselamatan, termasuk pampasan bagi kecederaan dan kerosakan harta benda.

Terdahulu, beliau menyampaikan cek pampasan itu kepada Muhammad Yusri Udin, dalam satu majlis di Pejabat Kastam Sungai Golok, di sini hari ini.

Pada 29 Jun lalu, Muhammad Yusri, 38, dan Abdullah Syarapi Abd Rahman, 45, cedera selepas sebuah peranti letupan buatan sendiri (IED) yang disembunyikan di dalam pembetung jalan meletup berhampiran persimpangan Sapom di Daerah Tak Bai pada kira-kira jam 11.40 pagi waktu tempatan.

Pihak berkuasa Thailand berkata kedua-dua rakyat Malaysia itu bukan sasaran serangan, yang dipercayai dilakukan oleh kumpulan pemberontak.

Susulan kejadian itu, seorang suspek berusia 40 tahun telah ditahan dan pasukan keselamatan Thailand melancarkan siasatan menyeluruh, termasuk menjalankan operasi pelupusan bahan letupan dan pemeriksaan forensik di lokasi kejadian.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.