MELAKA, 17 JUN: Dua pekerja syarikat penyelenggaraan lif warga India cedera parah selepas terperangkap di bawah lif yang terjatuh dari tingkat tujuh sebuah hotel di Jalan Syed Abdul Aziz di sini hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata kejadian dilaporkan berlaku ketika kedua-dua mangsa berusia 27 tahun itu sedang melakukan kerja pembaikan lif tersebut.
Beliau berkata Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.55 pagi sebelum dua jentera dengan kekuatan lapan anggota digerakkan ke tempat kejadian.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian lima minit selepas itu, didapati kedua-dua mangsa terperangkap di bawah runtuhan lif yang jatuh dari tingkat tujuh bangunan hotel itu," katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata anggota bomba mengambil masa kurang satu jam untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang parah sebelum mereka diserahkan kepada pasukan perubatan untuk dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.







