Dendam lama dipercayai punca lelaki maut, adik parah ditetak

12 Mac 2026, 7:29 AM
Dendam lama dipercayai punca lelaki maut, adik parah ditetak

SHAH ALAM, 12 MAC: Dendam lama dipercayai menjadi punca seorang lelaki maut ditetak manakala adik perempuannya parah dalam kejadian di hadapan rumah mereka di Taman Kempas, Sungai Petani, awal pagi Selasa lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, setakat ini empat individu termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Menurutnya, tiga suspek iaitu dua lelaki dan seorang wanita ditahan sejurus selepas kejadian sebelum polis membuat satu lagi tangkapan pada hari berikutnya.

“Pada jam 5.30 petang semalam kita buat satu lagi tangkapan membabitkan lelaki berusia 22 tahun yang mempunyai 10 rekod jenayah lampau dan ujian air kencing positif dadah.

“Suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, hari ini, lapor Harian Metro.

Adzli berkata, siasatan mendapati kesemua empat suspek mengenali mangsa serta adiknya yang parah dalam kejadian tersebut.

Katanya, hubungan antara mereka dipercayai sudah lama terjalin termasuk pernah tinggal berhampiran serta bergaul seperti biasa sebelum ini.

“Kita dapati motif adalah pelbagai, namun kita boleh simpulkan ia adalah akibat dendam lama yang dipendam walaupun mereka bercampur hari-hari.

“Untuk makluman, keluarga mangsa pernah tinggal bersama keluarga salah seorang suspek. Mangsa juga pernah bercinta dengan adik-beradik salah seorang suspek kira-kira empat atau lima tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata walaupun hubungan antara mereka kelihatan baik, siasatan mendapati terdapat perasaan tidak puas hati yang dipendam sehingga mencetuskan kejadian tragik tersebut.

Tambahnya, polis percaya kes berkenaan berjaya diselesaikan dan pertuduhan terhadap suspek akan dibuat dalam masa terdekat, manakala adik perempuan mangsa yang parah masih dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan berada dalam keadaan stabil.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.