Reman koperal didakwa pukul tujuh anggota tentera disambung hingga Isnin

4 Apr 2026, 2:45 PM
Reman koperal didakwa pukul tujuh anggota tentera disambung hingga Isnin

KUANTAN, 4 APRIL: Polis memperoleh perintah lanjutan reman terhadap seorang anggota tentera berpangkat koperal yang disyaki memukul tujuh rakan setugas, termasuk seorang parah, di Kem Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata perintah lanjutan tahanan reman terhadap suspek bermula esok sehingga Isnin bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis kini dalam proses melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk tindakan seterusnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan bahawa suspek berusia 37 tahun ditahan pada 1 April lalu bagi membantu siasatan berhubung kejadian memukul tujuh anggota tentera di kem berkenaan pada 30 Mac.

Zaiham berkata seorang anggota tentera berusia 24 tahun dilaporkan tidak sedarkan diri manakala enam lagi rakan setugas mengalami kecederaan selepas dipercayai dipukul dalam kejadian jam 8 malam di kawasan kem.

Suspek sebelum ini ditahan reman selama empat hari bermula 1 hingga 4 April bagi membantu siasatan di bawah seksyen sama.

Terdahulu, Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Datuk Azhan Md Othman memaklumkan bahawa mangsa yang parah masih dalam keadaan tidak stabil dan memerlukan sokongan bantuan pernafasan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.