Abdul Aziz dipilih Tokoh Maal Hijrah Selangor, antara pelopor pemakaian tudung dalam PDRM

17 Jun 2026, 12:40 AM
Abdul Aziz dipilih Tokoh Maal Hijrah Selangor, antara pelopor pemakaian tudung dalam PDRM
Abdul Aziz dipilih Tokoh Maal Hijrah Selangor, antara pelopor pemakaian tudung dalam PDRM
Abdul Aziz dipilih Tokoh Maal Hijrah Selangor, antara pelopor pemakaian tudung dalam PDRM
Abdul Aziz dipilih Tokoh Maal Hijrah Selangor, antara pelopor pemakaian tudung dalam PDRM
Abdul Aziz dipilih Tokoh Maal Hijrah Selangor, antara pelopor pemakaian tudung dalam PDRM

SHAH ALAM, 17 JUN: Peranan memperkenalkan pemakaian tudung rasmi dalam kalangan anggota polis wanita menjadi antara sumbangan Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sehingga melayakkan beliau menerima pengiktirafan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Selangor 1448H.

Sumbangan itu diumumkan ketika pembacaan biodata penerima anugerah sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Selangor yang berlangsung di Dewan Muzakarah, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, malam tadi.

Usaha berkenaan disifatkan sebagai antara perubahan penting dalam perkhidmatan awam dan keselamatan negara kerana memberi ruang kepada wanita Islam menunaikan tuntutan agama ketika menjalankan tugas.

Langkah tersebut turut dilihat meningkatkan kedudukan wanita Islam dalam pasukan keselamatan selain mencerminkan kepekaan terhadap keperluan agama dalam pelaksanaan dasar kerajaan.

Mengulas perkara itu, Abdul Aziz berkata ketika cadangan tersebut dibangkitkan sekitar 1970-an dan 1980-an, pemakaian tudung dalam kalangan wanita Islam masih belum begitu meluas, malah anggota polis wanita tidak dibenarkan memakai tudung ketika bertugas.

“Sebagai anggota kerajaan, polis sentiasa menjadi perhatian masyarakat. Pada masa itu sekitar tahun 70an/80an ramai polis wanita tidak boleh memakai tudung.

Tokoh Maal Hijrah Peringkat Selangor 1448H Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bercakap kepada media selepas sambutan Maal Hijrah Peringkat Selangor yang berlangsung di Dewan Muzakarah, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 16 Jun 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Kita berbincang bersama menteri, timbalan menteri dan pihak polis ketika itu sebelum mencapai persetujuan supaya anggota polis wanita dibenarkan memakai tudung ketika menjalankan tugas,” katanya ketika ditemui selepas sambutan Maal Hijrah Peringkat Selangor.

Menurut beliau, antara individu yang terlibat dalam perbincangan tersebut ialah Menteri Dalam Negeri merangkap Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi serta Timbalan Menteri, Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata selepas persetujuan dicapai, pemakaian tudung mula dilaksanakan dalam pasukan polis dengan setiap anggota polis wanita dibekalkan tudung sebagai sebahagian daripada kelengkapan rasmi.

Selain sumbangan itu, beliau turut mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang dalam sektor awam sejak 1995 merangkumi Ketua Setiausaha di Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kewangan, Kerajaan Negeri Selangor dan Melaka serta Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

“Saya tidak sangka khidmat saya selama ini diperhatikan, dilihat dan dinilai. Saya bersyukur dan gembira kerana diberi penghormatan oleh Kerajaan Negeri. Saya anak Selangor, memang kasih sayang dan hormat kepada negeri saya itu sangat tinggi.

“Saya ucap setinggi terima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Kerajaan Negeri, Jabatan Agama Islam Selangor yang mengatur untuk mengadakan program Maal Hijrah ini,” kata anak kelahiran Sabak Bernam itu.

Mengulas mengenai makna Hijrah, beliau berkata semangat Maal Hijrah perlu diterjemahkan melalui perubahan ke arah yang lebih baik serta usaha memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dipilih Tokoh Maal Hijrah Peringkat Selangor 1448H sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Selangor yang berlangsung di Dewan Muzakarah, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 16 Jun 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Katanya, rakyat perlu mencontohi pendekatan Rasulullah SAW dalam membina masyarakat yang bersatu padu sambil menghormati identiti dan kepelbagaian yang wujud dalam negara.

Terdahulu, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan anugerah kepada Abdul Aziz berupa cek cura bernilai RM20,000, sijil dan plak Maal Hijrah.

Berdasarkan rekod, Abdul Aziz memulakan baktinya dalam perkhidmatan awam sebagai Perangkawan di Jabatan Perangkaan, Kuala Lumpur. Kemudian, beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Kewangan Negeri Selangor; Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Selepas bersara, beliau dilantik sebagai anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Selepas beberapa tahun, beliau diberi kepercayaan oleh DYMM Sultan Selangor sebagai Pengerusi MAIS (1 Januari 2021 - 28 Februari 2025) dan sebagai Ahli Dewan Diraja Selangor (2 April 2018 - 30 November 2025).

Selepas tamat perkhidmatannya dalam sektor awam, beliau dilantik Yang di-Pertuan Agong sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya dan mengendalikan 26 pilihan raya kecil serta dua kali pilihan raya umum.

Beliau kini turut menerajui sektor kesihatan sebagai Pengerusi Avisena Specialist Hospital, yang menyumbang kepada pembangunan perkhidmatan kesihatan berkualiti untuk masyarakat.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.