KULAI, 16 JUN: Perkhidmatan Shuttle Selatan yang menghubungkan Kulai, JB Sentral dan Pasir Gudang dilancarkan hari ini dan dijangka memberi manfaat kepada lebih dua juta penduduk di koridor ketiga-tiga kawasan berkenaan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata sebagai permulaan, perkhidmatan tren berkenaan akan beroperasi melalui dua laluan utama, iaitu Kulai-JB Sentral-Kulai dan Kempas Baru-Pasir Gudang-Kempas Baru.
Beliau berkata kerajaan turut merancang memperluas perkhidmatan itu pada masa hadapan dengan memanjangkan laluan Kulai ke Paloh melalui stesen Kluang, Renggam dan Layang-Layang.
“Tiga stesen baharu juga dirancang dibuka, iaitu Taman Daya, Bandar Baru Sri Alam dan Pasir Putih bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaat pengangkutan awam berasaskan rel,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan di Stesen KTM Kulai hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi serta Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh.
Perkhidmatan ini menawarkan alternatif perjalanan yang lebih pantas dan selesa kepada pengguna, dengan perjalanan dari Kulai ke JB Sentral mengambil masa sekitar 40 minit, manakala perjalanan dari Kempas Baru ke Pasir Gudang mengambil masa sekitar 40 hingga 45 minit.
Beliau berkata bagi memastikan perjalanan first mile dan last mile yang lebih lancar, kerajaan turut melaksanakan inisiatif sokongan termasuk penyediaan bas pengantara, penyelarasan laluan Bas.My, perkhidmatan shuttle khas di Kempas Baru serta kemudahan park and ride di AEON Bandar Dato’ Onn.
Bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, beliau berkata kerajaan turut memperkenalkan Kad Komuter MADANI Shuttle Selatan dengan pengagihan 3,000 kad secara percuma kepada rakyat Johor.
Katanya, kad perjalanan bernilai RM50 ini membolehkan pengguna menikmati perkhidmatan Shuttle Selatan tanpa had sepanjang tempoh yang ditetapkan.
“Melalui inisiatif ini, RAC telah memperuntukkan sebanyak lebih RM150,000 sebagai galakan kepada rakyat untuk beralih kepada penggunaan pengangkutan awam,” katanya.
Beliau berkata Johor yang merupakan antara negeri paling pesat membangun memerlukan sistem pengangkutan awam yang cekap dan boleh dipercayai sejajar dengan perkembangan sektor perindustrian, logistik, pelabuhan, pendidikan dan perdagangan.
“Shuttle Selatan diperkenalkan bagi memperkukuh hubungan antara kawasan kediaman, pusat bandar serta kawasan perindustrian utama di negeri ini,” katanya.
Pelaksanaan Shuttle Selatan ini merupakan hasil kerjasama erat antara Kementerian Pengangkutan , Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC).







