SHAH ALAM, 20 OKT: Cadangan menaikkan had umur minimum mendapatkan lesen motosikal daripada 16 kepada 18 tahun perlu diteliti secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata cadangan itu mempunyai kebaikan dan keburukan, termasuk risiko lebih ramai remaja menunggang motosikal tanpa lesen sah jika mereka tidak lagi layak mendapatkan lesen ketika di bangku sekolah, lapor Berita Harian.
Menurutnya, perkara itu masih dalam kajian dan belum ada keputusan dibuat walaupun pernah dibincangkan beberapa tahun lalu.
“Jika had umur mendapatkan lesen motosikal dinaikkan kepada 18 tahun, pelajar sekolah menengah tidak lagi boleh mendapatkan lesen.
“Keadaan ini juga boleh menimbulkan masalah kerana lebih ramai mungkin menunggang motosikal tanpa lesen sah.
“Jadi, perkara ini bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dengan mudah hanya dengan menaikkan had umur,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Transport Expo Asia (TXA), di Kuala Lumpur, hari ini.
Semalam, Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof Dr Wong Shaw Voon mencadangkan supaya had umur minimum mendapatkan lesen motosikal dinaikkan kepada 18 tahun bagi membendung kegiatan lumba haram dalam kalangan individu bawah umur.
Beliau turut menegaskan isu penunggang motosikal bawah umur perlu diberi perhatian serius memandangkan terdapat kanak-kanak seawal usia 12 tahun menunggang motosikal tanpa lesen.
Mengulas lanjut, Loke berkata isu itu perlu dipertimbangkan secara serius kerana kegiatan menunggang motosikal tanpa lesen sudah berlaku walaupun had umur minimum mendapatkan lesen ketika ini ialah 16 tahun.
“Malah, ketika had umur minimum ditetapkan pada 16 tahun, sudah ada pelajar berusia 13 atau 14 tahun menunggang motosikal tanpa lesen.
“Jadi, kita akan mempertimbangkan isu ini secara serius,” katanya.






