SPRM tahan pendakwah bebas, disyaki seleweng dana RM12.3 juta

22 Apr 2026, 9:49 AM
SPRM tahan pendakwah bebas, disyaki seleweng dana RM12.3 juta

SHAH ALAM, 22 APRIL: Seorang pendakwah bebas direman lima hari kerana disyaki menyalah guna kuasa dan menyeleweng dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjumlah kira-kira RM12.3 juta untuk kepentingan peribadi.

Perintah reman selama lima hari hingga 26 April 2026 dikeluarkan Majistret Sara Afiqah Zulkifli selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Seremban, pagi tadi.

Individu dalam lingkungan usia 30-an itu ditahan kira-kira jam 8 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan, lapor Berita Harian.

Perbuatan itu disyaki dilakukan di tempatnya bekerja antara September 2022 hingga kini.

Individu itu dipercayai menyalahgunakan jawatannya dan bersubahat dengan dua ahli jawatankuasa lain dengan memindahkan wang berjumlah kira-kira RM12.3 juta ke dalam akaun bank miliknya serta lapan lagi akaun syarikat yang juga miliknya.

Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Sementara itu, difahamkan SPRM Negeri Sembilan telah membekukan 15 akaun membabitkan tiga akaun bank persendirian, tiga akaun bank NGO dan sembilan akaun bank syarikat dengan nilai berjumlah kira-kira RM16.5 juta.

Selain itu, turut disita ialah wang tunai berjumlah RM6,576; mata wang asing Riyal 95,568; Dolar Singapura (SGD) 795; tiga unit jam tangan bernilai kira-kira RM5,000; dan tiga beg tangan berjumlah kira-kira RM3,000.

Turut disita lima gelang tangan berjumlah kira-kira RM26,000; sebentuk cincin bernilai kira-kira RM2,000; satu unit rantai bernilai kira-kira RM7,000; serta 51 keping emas seberat satu gram bernilai kira-kira RM31,000.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.