SHAH ALAM, 16 JUN: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berjaya menumpaskan kegiatan penjualan ubat tidak berdaftar yang dipasarkan secara dalam talian menerusi serbuan di sebuah syarikat pengendali perkhidmatan hab logistik di Seksyen 19 pada 3 Jun lalu.
Operasi yang dijalankan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) JKNS itu turut membabitkan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta CPF Pahang, Pulau Pinang dan Kedah.
Pengarah JKNS Dr Ummi Kalthom Shamsudin berkata, tindakan penguatkuasaan tersebut dibuat susulan aduan awam berhubung penjualan produk yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) KKM.
Menurut beliau, syarikat terbabit dipercayai digunakan sebagai lokasi penyimpanan dan pengedaran produk mengandungi sibutramine kepada pengguna di seluruh negara.
"Hasil pemeriksaan berjaya merampas sebanyak tiga jenis produk tidak berdaftar mengandungi sibutramine selain 21 jenis produk suplemen kesihatan berjenama luar negara yang tidak berdaftar.
"Nilai rampasan dianggarkan melebihi RM5.6 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan sibutramine merupakan sejenis ubat yang digunakan bagi membantu menurunkan berat badan dan hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperoleh di farmasi dengan preskripsi doktor.
Katanya, penggunaan bahan tersebut tanpa pemantauan doktor boleh mengakibatkan kesan sampingan serius termasuk peningkatan tekanan darah, kadar denyutan jantung serta risiko komplikasi kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Ummi Kalthom memaklumkan CPF JKNS telah memeriksa 13 syarikat pengendali hab logistik di Selangor sepanjang tahun lalu, dengan nilai keseluruhan rampasan produk tidak berdaftar melebihi RM30 juta.
"Siasatan menunjukkan terdapat pembabitan penjual dari negara luar menggunakan syarikat pengendali perkhidmatan hab logistik sebagai lokasi penyimpanan dan pengedaran produk tidak berdaftar.
"Produk itu dijual kepada pengguna di Malaysia menggunakan pelbagai platform e-dagang," katanya.
Beliau berkata penjualan produk tidak berdaftar merupakan kesalahan di bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Tegasnya, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkat bagi membendung kemasukan serta pengedaran produk kesihatan luar negara yang tidak berdaftar demi melindungi keselamatan pengguna.






