Golongan berisiko digesa peka ancaman penyakit tibi, pakai pelitup muka

19 Feb 2026, 1:01 AM
Golongan berisiko digesa peka ancaman penyakit tibi, pakai pelitup muka
Golongan berisiko digesa peka ancaman penyakit tibi, pakai pelitup muka

SHAH ALAM, 18 FEB: Golongan berisiko seperti perokok, penghidap diabetes dan buah pinggang kronik perlu lebih peka dengan ancaman penyakit Tuberculosis atau tibi, kata pengarah kesihatan negeri.

Menurut Dr Ummi Kalthom Shamsudin, golongan itu dinasihatkan sentiasa mengambil langkah pencegahan susulan 503 kes baharu penyakit batuk kering direkodkan pada Minggu Epidemiologi kelima bagi seluruh negara.

“Jika batuk berpanjangan, segeralah dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat. Jangan dibiarkan sahaja.

“Pada masa sama, sepanjang musim Ramadan ini pakailah pelitup muka di kawasan sesak terutama bazar Ramadan ataupun pusat beli belah,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Pada 15 Mei lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan Selangor menjadi negeri kedua tertinggi merekodkan penyakit tibi dengan 476 kes daripada 2,571 kes seluruh negara pada tahun ini.

Pada masa sama, Dr Ummi Kalthom turut menggesa orang ramai supaya mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul terutama di lokasi tumpuan awam.

“Langkah ini bukan sahaja berteraskan prinsip penilaian risiko kendiri, malah merupakan tanggungjawab sosial yang amat penting bagi melindungi diri, keluarga serta komuniti daripada risiko jangkitan penyakit berjangkit,” katanya.

Sebelum itu, Menteri Kesihatan memaklumkan 85 peratus daripada kes penyakit tibi yang dilaporkan adalah melibatkan rakyat tempatan.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, hanya 15 peratus kes adalah melibatkan warga asing sekalis gus menunjukkan risiko penularan dalam komuniti adalah nyata dan tidak boleh dipandang enteng.