SHAH ALAM, 15 JUN: Jemaah haji tahun ini yang masih belum memohon insentif muassasah berjumlah RM1,500 diminta segera membuat permohonan sebelum tarih tutup pada 15 Julai depan.
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata permohonan boleh dibuat di pejabat atau penyelaras Dewan Undangan Negeri masing-masing.
“Hanya dua dokumen diperlukan iaitu surat pemakluman mengerjakan ibadah haji dan juga slip Suruhanjaya Pilihan Raya yang menunjukkan mereka pengundi di Selangor.
“Setakat ini lebih 4,000 jemaah sudah membuat permohonan. Tahun ini sumbangan diberikan RM1,500 jadi rugi sekiranya mereka yang layak tak mohon,” kata Ahmad Azri Zainal Nor kepada Media Selangor.
Beliau berkata, pihaknya terpaksa menolak beberapa permohonan berikutan tidak menepati syarat ditetapkan antaranya pengundi luar dari negeri ini.
“Ada juga pemohon yang bukan dalam kategori muassasah. Mereka kategori pakej dan permohonan mereka ditolak. Jadi sekiranya layak, kita minta mohon segera,” katanya.
Tahun ini, Dato Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan seramai 6,000 bakal jemaah haji muassasah menerima insentif RM1,500 seorang menerusi pelaksanaan program Insentif Haji Muassasah 1447H/2026M.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM9 juta bagi program berkenaan dengan jumlah bantuan ditingkatkan RM500 berbanding RM1,000 sebelum ini kepada RM1,500 bagi setiap jemaah.
Sejak diperkenalkan pada 2022, insentif itu sudah memanfaatkan 18,000 jemaah haji muassasah dari Selangor termasuk 3,000 jemaah masing-masing pada 2022 dan 2023 serta 6,000 jemaah masing-masing pada 2024 dan 2025.








