SABAK BERNAM, 14 JUN: Penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 akan diteruskan secara berhemah dan berjimat cermat selaras titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor.
EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata, Kerajaan Negeri sedang melaksanakan pelbagai langkah penjimatan bagi memastikan peruntukan lebih tertumpu kepada penganjuran acara sukan.
Menurutnya, pendekatan itu termasuk mengurangkan kos program sampingan dan memanfaatkan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi kerajaan sedia ada.
“Peruntukan memang kita bergerak ke arah penjimatan, sebab itu kalau kita tengok dari segi pelaksanaan program ceremonial sebagai contoh Larian Obor kita tidak menganjurkannya berskala besar.
“Kita bekerjasama dengan PBT untuk sama-sama bantu. Kalau kita nak buat meriah, kita boleh engage dengan event management atau event company tetapi kos memang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hijrah Innovation & Growth Hub di Ruang Daya Cipta Sabak Bernam yang ditubuhkan Hijrah Selangor bagi membantu memperkukuh ekosistem usahawan luar bandar, hari ini.
Mohd Najwan berkata, penggunaan sumber dan kepakaran daripada jabatan serta agensi kerajaan membolehkan kos penganjuran dikurangkan tanpa menjejaskan kelancaran temasya berkenaan.
“Penjimatan itu kita mengguna pakai pelbagai kaedah untuk kita kurangkan kos dan kita tumpukan peruntukan SUKMA untuk menjayakan penganjuran acara sukan, itu fokus utama,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan setakat ini tiada perubahan terhadap lokasi pertandingan yang telah ditetapkan sebelum ini termasuk acara catur yang akan berlangsung di Sabak Bernam.
Katanya, walaupun daerah itu tidak mempunyai kemudahan seperti bandar besar lain, ia memiliki dewan yang sesuai dan mampu menampung penganjuran kejohanan berkenaan.
“Kita jangka antara 2,000 hingga 3,000 pengunjung hadir bagi acara catur melibatkan peserta, keluarga dan penyokong dari seluruh negara.
"Kehadiran mereka akan membantu ekosistem setempat seperti inap desa, perniagaan makanan dan pada masa sama mempromosikan Sabak Bernam sebagai destinasi pelancongan,” katanya.
SUKMA edisi ke-22 berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos manakala PARA SUKMA dari 5 hingga 10 September.
Sebanyak 469 acara dipertandingkan daripada 37 jenis sukan akan dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 52 venue pertandingan manakala PARA SUKMA melibatkan 10 jenis sukan dan 316 acara di daerah Petaling serta Klang.











