SABAK BERNAM, 14 JUN: Selangor berada di landasan tepat untuk menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 dan PARA SUKMA 2026 apabila persiapan keseluruhan temasya itu kini mencapai kira-kira 95 peratus.
EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata semua persiapan yang dilaksanakan melibatkan pelbagai agensi serta pihak berkuasa tempatan (PBT) berjalan lancar dan mengikut jadual ditetapkan.
Menurutnya, beberapa kemudahan utama yang akan digunakan sepanjang temasya berkenaan telah siap sepenuhnya termasuk Pusat Akuatik Selangor yang bakal menjadi venue pertandingan bagi beberapa acara.
“Secara keseluruhannya, persiapan penganjuran SUKMA dan PARA SUKMA 2026 telah mencapai kira-kira 95 peratus dan kita berada di landasan yang tepat untuk memastikan temasya ini berlangsung dengan jayanya.
“Beberapa kemudahan utama telah siap termasuk Pusat Akuatik Selangor manakala persiapan di peringkat PBT juga berada dalam keadaan siap siaga khususnya membabitkan kemudahan infrastruktur dan aspek sokongan penganjuran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Jelajah Larian Obor Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 dan PARA SUKMA 2026 yang berlangsung di Dataran Bagan Terap di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Najwan berkata Kerajaan Negeri akan mengadakan mesyuarat induk terakhir yang dipengerusikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari pada Julai depan bagi menyelaras persiapan akhir menjelang SUKMA Selangor 2026.
Katanya, mesyuarat itu penting bagi memastikan setiap aspek penganjuran dapat dimuktamadkan dengan lebih teratur termasuk penyelarasan logistik, pengurusan venue serta penyertaan kontinjen sekali gus memastikan temasya berkenaan dilaksanakan dengan lancar.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Najwan berkata proses pemilihan sukarelawan kini berada di peringkat akhir dengan calon yang berjaya akan dihubungi dalam masa terdekat bagi mengikuti proses persediaan sebelum bertugas sepanjang temasya berlangsung.
Pada masa sama, beliau berkata Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor kini sedang memuktamadkan senarai akhir atlet yang akan membawa cabaran negeri pada temasya itu bagi memastikan kontinjen Selangor dibarisi atlet terbaik untuk menghadapi saingan nanti.
Sebelum ini, Mohd Najwan memaklumkan Kerajaan Negeri memepruntuk RM40 juta bagi melaksanakan kerja penaiktarafan berskala besar Pusat Akuatik Selangor sebagai persediaan menghadapi penganjuran SUKMA Selangor 2026.
Penaiktarafan itu merangkumi penyediaan kemudahan moden terutama sistem sensor masa dan pemarkahan selain penggantian beberapa komponen utama antaranya kawasan tempat duduk penonton, pam air serta saluran paip bawah tanah.











