MBPJ peruntuk RM434,000 perkukuh keselamatan kejiranan Petaling Jaya

13 Jun 2026, 5:33 AM
MBPJ peruntuk RM434,000 perkukuh keselamatan kejiranan Petaling Jaya

SHAH ALAM, 13 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperuntukkan RM434,000 menerusi Geran Pasukan Keselamatan Kejiranan Petaling Jaya (PKKPJ) 2026 bagi memperkukuh peranan komuniti dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan kejiranan.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata, peruntukan itu disalurkan kepada 124 pasukan PKKPJ sebagai usaha berterusan MBPJ memperkasakan komuniti sebagai rakan strategik dalam menjayakan agenda Bandar Selamat.

“Penglibatan aktif komuniti melalui rondaan sukarela, program kesedaran keselamatan serta kerjasama erat dengan agensi penguatkuasaan memainkan peranan penting dalam membantu mengurangkan risiko jenayah.

“Komuniti merupakan barisan hadapan dalam memastikan keselamatan kawasan kejiranan. Kerjasama baik antara penduduk, pihak berkuasa tempatan dan agensi keselamatan mampu mewujudkan persekitaran lebih selamat dan harmoni,” katanya pada Majlis Penyampaian Geran PKKPJ 2026 di Dewan Sivik MBPJ, semalam.

Menurut beliau, kadar geran bagi setiap pasukan turut dinaikkan kepada RM3,500 berbanding RM3,000 pada tahun lalu sebagai penghargaan terhadap komitmen dan sumbangan pasukan keselamatan kejiranan.

Katanya, pemberian geran itu mencerminkan komitmen MBPJ dalam memperkukuh pendekatan kepolisan berasaskan komuniti yang menekankan penglibatan masyarakat dalam usaha pencegahan jenayah serta peningkatan kesejahteraan penduduk.

Pada majlis sama, MBPJ turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan PKKPJ kepada pasukan dan persatuan yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam pelaksanaan program keselamatan kejiranan, penglibatan komuniti serta pembangunan jaringan kerjasama strategik.

Mohamad Zahri berkata beliau yakin kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan, agensi keselamatan dan komuniti akan terus menjadi pemangkin kepada usaha menjadikan Petaling Jaya sebuah bandar raya yang selamat, berdaya huni dan mampan.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.