El Nino: Garis panduan acara luar SUKMA 2026 sedang dimuktamad

13 Jun 2026, 1:12 AM
El Nino: Garis panduan acara luar SUKMA 2026 sedang dimuktamad

SHAH ALAM, 13 JUN: Garis panduan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 terutama melibatkan acara luar akan dimuktamadkan susulan jangkaan cuaca panas dan fenomena El Nino.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata garis panduan tersebut sedang diselaraskan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN), termasuk membabitkan langkah pencegahan, pengurusan risiko serta pemantauan kesihatan atlet berdasarkan pandangan badan teknikal berkaitan.

“Pihak Sekretariat SUKMA Selangor sentiasa mengambil serius aspek keselamatan atlet sepanjang temasya berlangsung. Bagi acara sukan luar, jadual pertandingan akan disusun dengan mengambil kira keadaan suhu semasa dan seboleh mungkin mengelakkan pelaksanaan acara pada waktu puncak cuaca panas.

“Waktu ‘water break’ juga akan diberikan kepada atlet. Ia penting bagi memastikan pengambilan air yang mencukupi sekali gus mengurangkan risiko dehidrasi ketika bertanding,” katanya kepada Media Selangor.

Mengulas lanjut, Mohd Najwan berkata sebarang penyesuaian jadual latihan atau pertandingan akan dibuat mengikut situasi semasa serta saranan persatuan sukan kebangsaan yang bertindak sebagai badan teknikal bagi setiap acara.

“Pihak penganjur mempunyai fleksibiliti untuk menilai situasi semasa termasuk mengubah masa pertandingan, menangguhkan atau menjadualkan semula acara sekiranya faktor cuaca memerlukan tindakan sedemikian.

“Keputusan itu akan dibuat berdasarkan penilaian pihak teknikal dan agensi berkaitan dengan mengutamakan keselamatan serta kebajikan atlet, pegawai pasukan, sukarelawan dan semua pihak yang terlibat,” katanya.

Selain pengurusan risiko cuaca panas, beliau berkata pihak sekretariat turut memastikan kemudahan perubatan, petugas kesihatan, kawasan rehat dan kemudahan hidrasi disediakan di setiap venue pertandingan.

“Pemantauan berterusan terhadap keadaan cuaca dan tahap kesihatan peserta akan dilaksanakan sepanjang temasya bagi memastikan semua acara dapat dijalankan dalam persekitaran yang selamat dan kondusif,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri berkata kesiapsiagaan di peringkat akar umbi dalam menghadapi fenomena El Nino perlu diperkukuh kerana langkah pencegahan dan persediaan awal adalah benteng terbaik dalam mengharungi kesan cuaca ekstrem yang semakin tidak menentu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dipersetujui oleh mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang hari ini meneliti pembentangan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai fenomena El Nino serta implikasinya terhadap negara.

SUKMA edisi ke-22 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala PARA SUKMA dari 5 hingga 10 September.

Sebanyak 469 acara daripada 37 jenis sukan akan dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 52 venue pertandingan manakala PARA SUKMA melibatkan 10 jenis sukan dan 316 acara di daerah Petaling serta Klang.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.