Dari Hangul ke kerjaya bertaraf antarabangsa

14 Jun 2026, 7:00 AM
Dari Hangul ke kerjaya bertaraf antarabangsa
Dari Hangul ke kerjaya bertaraf antarabangsa

Fasih berbahasa Korea membuka mata wanita dari Shah Alam untuk melihat dunia dengan lebih luas selain membuka banyak peluang dalam pelbagai aspek.

Bermula tawaran menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan elektrik pada Februari 2006 di Korea Selatan, Sharina Zainordin sedar satu perkara penting sebaik tiba di sana - bahasa bukan pilihan tetapi keperluan.

"Korea memang negara yang tidak cakap bahasa lain selain bahasa dia. Bahasa Inggeris pun susah sikit," kata ibu kepada empat cahaya mata itu kepada Media Selangor.

Minat beliau ke republik itu bukan dipengaruhi fenomena drama Winter Sonata mahupun K-Pop sebaliknya reputasi Universiti Hanyang sebagai institusi terbaik dalam jurusan tersebut.

Selama satu setengah tahun, Sharina mempelajari bahasa Korea di Seoul National University sebelum menyambung pengajian diploma dalam jurusan elektrik di Dongyang Mirae College.

Sebelum terbang ke negara berkenaan, Sharina ada menyertai kursus persediaan bahasa di Intec Education College, Shah Alam selama tiga bulan.

"Kejuruteraan susah, belajar pula dalam bahasa Korea. Jadi berganda-ganda susahnya. Ada satu subjek, pensyarah guna bahasa Busan. Umpama kita yang menggunakan bahasa Melayu standard, perlu belajar dalam dialek Kelantan.

"Kadang-kadang kita tak faham dalam kelas, kawan-kawan Korea datang bantu, terangkan semula," katanya yang kini berusia 41 tahun.

Cabaran bukan sekadar pada struktur bahasa tetapi sistem 'honorific' yang memerlukan penutur memahami konteks sosial. Ini kerana bahasa Korea ada tahap penggunaan berdasarkan hierarki. Namun, beliau percaya bahasa berkenaan lebih mudah berbanding Mandarin asalkan tahu hurufnya.

"Contohnya dengan kawan lain, dengan orang tua lain, dengan majikan lain," kata Sharina sambil menjelaskan kepentingan cara berbahasa.

Beliau menegaskan pembelajaran bahasa asing tidak terpisah dari budaya masyarakatnya. Memahami aspek itu memudahkan interaksi dengan penduduk tempatan sekali gus senang menyesuaikan diri dalam persekitaran baharu.

Wanita itu juga mendapati kemahiran berbahasa Korea memberi kelebihan besar dalam dunia pekerjaan. Sharina sendiri mudah memperoleh pekerjaan dalam bidang sumber manusia di sebuah syarikat Korea usai pengajian.

Ternyata, kebolehannya berbahasa asing memberi nilai tambah yang ketara, lebih-lebihnya pasaran kerja sangat kompetitif.

"Bila kuasai bahasa lain, anda membezakan diri dengan calon lain yang hadir temu duga. Kalau CGPA sama, universiti sama, kemahiran bahasa buat anda lebih menonjol," katanya.

Permintaan terhadap pekerja yang menguasai bahasa asing juga tinggi, khususnya bahasa Korea. Bilangan tenaga mahir pula terhad. Graduan baharu yang memiliki kemahiran bahasa tambahan memperoleh gaji lebih tinggi, dari RM5,000 hingga RM6,000 dalam sektor tertentu.

Kemahiran itu juga membuka ruang kepada pendapatan sampingan. Sharina pernah dibayar sehingga RM800 sehari untuk menjadi penterjemah di reruai di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selain RM1,000 sehari sebagai penterjemah untuk sebuah syarikat di Cyberjaya.

"Saya juga pernah ditawarkan menjadi penterjemah sebuah kes di mahkamah dengan kadar ribuan ringgit," katanya yang mengakui keyakinan penting terutama melibatkan isu teknikal atau undang-undang.

Pekerja swasta, Sharina Zainordin, 41, menunjukkan koleksi buku ketika ditemu bual mengenai pengalaman menguasai bahasa asing di Elmina Valley 5, Shah Alam pada 11 April 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Pengaruh budaya

Bahasa juga membentuk keperibadian. Pengalaman tinggal di Korea Selatan menjadikannya lebih berdisiplin dalam pengurusan masa. Budaya kerja yang menitik berat ketepatan masa memberi kesan langsung kepada rutin hariannya.

Pada masa sama, penggunaan bahasa asing secara aktif turut meningkatkan keyakinan diri, khususnya ketika berkomunikasi dan berucap di khalayak ramai.

"Bila ramai kawan Korea, selalu buat pembentangan dalam bahasa Korea, ia meningkatkan keyakinan diri saya untuk bercakap," kata wanita tersebut.

Malah, kemahiran itu mengubah haluan kerjayanya, dari kejuruteraan kepada bidang sumber manusia yang lebih banyak melibatkan interaksi dengan orang ramai.

Sharina juga menekankan pembelajaran bahasa tidak terhad kepada buku semata-mata. Lagu, drama dan filem antara kaedah berkesan memahami selok-belok penggunaan bahasa secara semula jadi.

"Kalau belajar sesuatu bahasa, kena dengar lagu dia. Daripada lirik, kita akan lebih mudah ingat. Tonton juga drama supaya percakapan kita kedengaran semula jadi.

"Bahasa kena sentiasa praktis. Kalau lama tidak bercakap, memang boleh lupa. Cari juga kawan-kawan yang boleh kita berkomunikasi," katanya lagi.

Berdasarkan keperluan dunia mutakhir ini, beliau menggalakkan generasi muda supaya menguasai sekurang-kurangnya satu bahasa asing sebagai kelebihan untuk lebih berdaya saing dalam pasaran kerjaya.

"Pilih bahasa asing yang ada nilai kebolehpasaran tinggi, jangan takut untuk mencuba dan sentiasa buat latihan," kata Sharina.

Grafik FARAH AZILA MUSTAPHA
Grafik FARAH AZILA MUSTAPHA

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.