Minat Anita Arham terhadap bahasa Perancis tumbuh semasa di bangku sekolah. Beliau terdengar rakan sekelas berbual dengan ibunya menggunakan bahasa tersebut, sarat emosi dan nadanya kedengaran puitis.
"Saya tertanya-tanya bahasa apakah yang digunakan? Dari situ timbul minat untuk belajar," katanya kepada Media Selangor.
Naluri itu menggamitnya untuk menguasai bahasa tersebut. Meski dilabel antara bahasa paling sukar dipelajari, itulah juga faktor yang mendorong beliau untuk mendalaminya. Justeru, Anita mengambil ijazah bahasa Perancis di University of London pada 2003.
Laluannya tidak mudah. Beliau berdepan banyak rintangan ekoran struktur tatabahasanya jauh berbeza dengan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang kerap digunakan di Malaysia.
Sememangnya, bahasa itu sering dikait dengan unsur romantik dan nilai puitis. Namun di sebalik sebutannya yang unik, tersembunyi struktur bahasa yang kompleks.
"Cabaran paling besar ialah melatih fikiran supaya tidak bercampur aduk dengan bahasa yang selalu kita guna. Saya selalu pesan kepada pelajar, cuba terus berfikir dan (terus) guna bahasa Perancis," katanya.
Keputusan wanita itu yang kini berusia 51 tahun kemudian menjadi sebahagian besar dari hidupnya selama lebih 17 tahun sebagai guru bahasa berkenaan.
Anita tertarik kepada keunikan bahasa Perancis yang bunyinya seakan-akan berlagu dan kedengaran klasik hingga menjadikannya sinonim dengan bahasa cinta serta puisi.
"Bahasa Perancis memang bahasa puitis dan romantik. Ia sering digunakan untuk meluahkan perasaan dan emosi," katanya.
Pemilihan perkataan dalam bahasa Perancis juga membawa kesan emosi berbeza terhadap sesebuah karya selepas ia diterjemah ke bahasa lain.
"Saya pernah baca buku yang sama dalam empat bahasa dan saya mendapat emosi berbeza untuk setiap satu. Pemilihan kata dan terjemahan memang mempengaruhi perasaan pembaca," katanya.
Anita mengakui ada sentuhan emosi yang mungkin hilang apabila sesebuah karya Perancis diterjemah biarpun maksud asalnya masih kekal. Pengalaman menterjemah karya Voltaire membuka ruang kepadanya untuk memahami bagaimana emosi berubah apabila dipindah daripada satu bahasa ke bahasa lain.
Voltaire yang lahir di Paris pada 1604 antara penulis tersohor pada Zaman Pencerahan. Beliau banyak menghasilkan satira, puisi dan pementasan drama tetapi banyak karyanya diharamkan kerajaan pada masa itu.
"Saya jatuh cinta dengan bahasa Perancis melalui puisi-puisi pendek kerana ia mudah dihafal dan emosinya lebih mudah dirasai," katanya.

Language Discovery @ Selangor Public Library
Anita yang menjadi tenaga pengajar Program Language Discovery @ Selangor Public Library selama dua tahun kerap mengingatkan pelajar supaya memahami budaya masyarakat Perancis.
Komunikasi mereka banyak dipengaruhi bahasa tubuh, mimik muka dan bentuk sapaan, malah bentuk panggilan berbeza-beza mengikut tahap formaliti dan penghormatan kepada seseorang.
Bahasa itu juga berkembang mengikut perubahan zaman termasuk penggunaan istilah baharu dalam kalangan generasi muda. Pun begitu, ia masih mengekal akar bahasa Latin berbanding sesetengah bahasa lain.
Untuk proses pengajaran, Anita menekankan aspek mendengar dan meniru bunyi sebelum pelajar mula menulis atau memahami selok-belok tatabahasa. Beliau percaya belajar bahasa asing perlu seumpama kanak-kanak mempelajari bahasa pertama mereka.
"Jangan takut buat salah. Bila kita buat kesalahan dan ditegur, kita akan lebih ingat dan belajar daripada situ," katanya.
Anita menyifatkan pengalaman mengajar dalam program Language Discovery kendalian Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) cukup bermakna kerana masyarakat pelbagai latar belakang berpeluang mendekati bahasa asing secara percuma.
Beliau percaya inisiatif Kerajaan Selangor itu membantu rakyat mempelajari bahasa asing dalam suasana pembelajaran lebih santai berbanding dalam kelas.
"Ini inisiatif yang memberi peluang kepada mereka yang benar-benar ingin mempelajari bahasa. Saya rasa hanya di Selangor sahaja ada inisiatif seperti ini. Saya harap ia dapat berkembang ke negeri lain juga," katanya.
Pada tahun ini, seramai 600 pelajar mengikuti kelas bahasa Perancis daripada keseluruhan 2.960 peserta yang menyertai program tersebut.









