Bapa dipenjara dua tahun tumbuk anak hingga lebam

12 Jun 2026, 8:24 AM
Bapa dipenjara dua tahun tumbuk anak hingga lebam

SHAH ALAM, 12 JUN: Seorang pemotong rumput yang didapati positif morfin dipenjara dua tahun setengah oleh Mahkamah Sesyen di Muar hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan anak lelakinya berusia 13 tahun sehingga mengalami lebam pada muka.

Hakim Mohd Khairi Haron menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 44 tahun selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang dibaca bersama Seksyen 31(1) akta sama.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mencederakan anak lelakinya dengan cara menumbuk muka sebelah kanan mangsa hingga lebam dalam kejadian di sebuah rumah di daerah Tangkak pada jam 11.30 malam, 8 Jun lalu.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berpunca daripada pertengkaran antara tertuduh dan isterinya selepas wanita itu enggan memberikan wang seperti diminta.

Perselisihan faham berkenaan berlanjutan sehingga malam hari sama dan menyebabkan suasana rumah menjadi bising.

Ketika kejadian, mangsa bersama dua lagi adik-beradiknya berada di rumah dan cuba meleraikan pertengkaran tersebut dengan meminta ibu bapa mereka menghentikan pergaduhan, lapor Harian Metro.

Namun, tertuduh dipercayai tidak berpuas hati dengan teguran itu sebelum meluru ke arah mangsa dan menumbuk muka sebelah kanannya sehingga mengalami kecederaan.

Bagi kesalahan itu, Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirah Sapian manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selain hukuman penjara, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menandatangani bon berkelakuan baik dengan cagaran RM5,000 oleh seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh gagal menyediakan cagaran berkenaan dan dikenakan tambahan hukuman penjara enam bulan. Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani khidmat masyarakat selama 100 jam dalam tempoh enam bulan bermula dari tarikh sabitan.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.