GSF 2.0: Kapten Razman selamat tiba di tanah air

11 Jun 2026, 3:42 PM
GSF 2.0: Kapten Razman selamat tiba di tanah air

SHAH ALAM, 12 JUN: Aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, Razman Mat Ali selamat tiba di tanah air selepas menjalani rawatan selama 21 hari susulan kecederaan akibat dikasari tentera Israel ketika menyertai misi solidariti untuk Gaza.

Perkara itu dimaklumkan Sumud Nusantara menerusi hantaran di Facebook yang menyifatkan kepulangan beliau sebagai kesinambungan perjuangan kemanusiaan untuk rakyat Palestin.

“Alhamdulillah, Kapten Razman selamat tiba di Malaysia selepas menyertai misi Global Sumud Flotilla 2.0 yang membawa suara solidariti dan kemanusiaan untuk Gaza ke pentas dunia.

“Kepulangan beliau bukanlah penamat sebuah perjalanan, tetapi kesinambungan perjuangan untuk terus menyuarakan nasib rakyat Palestin dan membangkitkan kesedaran masyarakat,” katanya.

Menurut pertubuhan itu, keberanian, pengorbanan dan komitmen yang ditunjukkan Razman sepanjang misi berkenaan wajar dihargai dalam usaha memperjuangkan isu kemanusiaan di Gaza.

“Terima kasih atas keberanian, pengorbanan dan komitmen dalam menjayakan misi kemanusiaan demi Gaza dan Palestin.

“Selamat pulang, Kapten. Perjuangan masih diteruskan,” katanya.

Pada 25 Mei lalu, Razman tidak dapat pulang bersama 28 aktivis Malaysia lain kerana masih menerima rawatan di Istanbul selepas mengalami traumatic pneumothorax atau paru-paru bocor akibat ditumbuk tentera Israel.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby mengesahkan 50 kapal yang menyertai misi GSF 2.0 bersama 430 aktivis kemanusiaan, termasuk 29 rakyat Malaysia, telah dipintas dan ditahan Israel.

Kapal yang membawa sukarelawan misi kemanusiaan itu dipintas tentera Israel berhampiran perairan Cyprus pada 18 Mei lalu ketika dalam perjalanan menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.