MB sifatkan penahanan aktivis flotilla sebagai 'penculikan' rejim Zionis

22 Mei 2026, 8:42 AM
MB sifatkan penahanan aktivis flotilla sebagai 'penculikan' rejim Zionis
MB sifatkan penahanan aktivis flotilla sebagai 'penculikan' rejim Zionis
MB sifatkan penahanan aktivis flotilla sebagai 'penculikan' rejim Zionis
MB sifatkan penahanan aktivis flotilla sebagai 'penculikan' rejim Zionis

SHAH ALAM, 22 MEI: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyifatkan penahanan 29 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 sebagai satu "penculikan” oleh rejim Zionis.

Menurut beliau, kumpulan aktivis terbabit turut menerima tekanan dan penderaan fizikal ketika ditahan di perairan antarabangsa sebelum dibebaskan.

"Kita rasa syukur kepada Allah SWT mereka dibebaskan walaupun kali ini mereka mendapat penderaan dan tekanan fizikal daripada rejim.

“Mereka ditahan di perairan antarabangsa yang saya anggap ia satu penculikan dibuat oleh rejim (Zionis). Saya kira mereka dalam keadaan terdesak kerana semakin hari semakin ramai peserta datang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis peluncuran Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan Program Didik Kasih (PDK) 2026 di Dewan Raja Muda Musa, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor melawat sekitar reruai ketika hadir dalam majlis peluncuran Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan Program Didik Kasih (PDK) di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 Shah Alam pada 22 Mei 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Amirudin yang juga Ketua Delegasi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 bagaimanapun menegaskan insiden itu tidak akan mematahkan semangat mereka untuk terus bersuara demi kebebasan penduduk Gaza.

"Insya-Allah kita tidak akan berhenti di sini. Kita akan memastikan mesej ini dapat sampailah apa yang dikata break the silence," katanya.

Beliau turut memaklumkan kumpulan aktivis terbabit dijangka pulang ke tanah air hujung minggu ini, manakala pegawai Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) sudah berlepas bagi mengurus ketibaan mereka.

“Saya tidak berkesempatan untuk pergi bersama-sama dengan mereka, mungkin saya akan sambut mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," katanya.

Tambah beliau, pihaknya kini sedang menunggu laporan akhir berkaitan penghantaran 30 kontena bantuan kemanusiaan yang dilepaskan bulan lalu dan dijangka tiba di Gaza dalam masa terdekat.

"Bila sampai saya akan maklumkan ataupun saya akan datang ke sana untuk melihat penyampaiannya," katanya.

Pada 4 April lalu, Amirudin diamanahkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetuai Misi Bantuan Kecemasan Malaysia ke Gaza serta Delegasi GSF 2.0.

Misi itu digerakkan MAPIM dengan kerjasama Cinta Gaza Malaysia serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain bersama rakan strategik.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.