Misi GSF 2.0 berjaya satukan solidariti dunia untuk Palestin

25 Mei 2026, 5:32 AM
Misi GSF 2.0 berjaya satukan solidariti dunia untuk Palestin
Misi GSF 2.0 berjaya satukan solidariti dunia untuk Palestin
Misi GSF 2.0 berjaya satukan solidariti dunia untuk Palestin
Misi GSF 2.0 berjaya satukan solidariti dunia untuk Palestin
Misi GSF 2.0 berjaya satukan solidariti dunia untuk Palestin

SEPANG, 25 MEI: Misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 disifatkan berjaya menyatukan solidariti masyarakat antarabangsa terhadap rakyat Palestin walaupun delegasi kemanusiaan itu disekat dan ditahan rejim Zionis ketika dalam pelayaran menuju ke Gaza.

Orang ramai yang hadir menyambut kepulangan aktivis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 semalam berpandangan pengorbanan peserta misi itu berjaya membuka mata dunia mengenai kekejaman yang dihadapi rakyat Palestin.

Ahmad Azwan Ahmad Zaharuddin, 42, berkata beliau hadir bagi memberi sokongan kepada rakannya, Muhammad Farizal Rostam yang pertama kali menyertai misi berkenaan selain mengikuti perkembangan delegasi itu sejak awal pelayaran.

“Saya memang mengikuti perkembangan misi ini dari awal. Walaupun mereka ditahan dan dikasari oleh rejim Zionis, namun semangat mereka untuk membantu rakyat Palestin masih kuat.

“Pada saya, misi ini tidak gagal, cuma disekat oleh rejim Zionis. Rakyat Malaysia masih boleh terus menyokong Palestin menerusi boikot, bersuara di media sosial dan membaca doa qunut nazilah,” katanya kepada Media Selangor.

Ahmad Azwan Ahmad Zaharuddin, 42, hadir bagi memberi sokongan kepada rakannya, Muhammad Farizal Rostam ketika Himpunan Solidariti Kepulangan Aktivis Sumud Flotilla 2.0 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada 24 Mei 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Muhammad Farhan Kamal, 28, berkata beliau hadir buat kali kedua bagi menyambut kepulangan aktivis yang sanggup mempertaruhkan keselamatan demi menghantar bantuan kepada rakyat Palestin.

Katanya, sokongan masyarakat penting sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan delegasi yang berdepan pelbagai risiko dan ancaman keselamatan demi menyampaikan bantuan kemanusiaan serta solidariti kepada rakyat Palestin.

“Tindakan rejim Zionis sangat zalim kerana aktivis yang ditahan tidak membawa sebarang senjata dan hanya menjalankan misi kemanusiaan, namun mereka tetap dilayan secara kasar seolah-olah menjadi ancaman besar kepada pihak berkuasa Israel.

“Mereka tidak boleh mengalah kerana ramai rakyat Malaysia sentiasa menyokong perjuangan ini. Orang ramai juga boleh terus membantu Palestin dengan menyumbang makanan dan derma,” ujarnya.

Muhammad Farhan Kamal, 28, menyambut kepulangan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada 24 Mei 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Semalam, seramai 28 aktivis Malaysia yang sebelum ini ditahan rejim Israel ketika menyertai misi kemanusiaan GSF 2.0 selamat tiba di KLIA Terminal 1.

Ketibaan mereka disambut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang juga Ketua Delegasi GSF 2.0 bersama lebih 100 ahli keluarga serta penyokong di balai ketibaan lapangan terbang berkenaan sebagai tanda sokongan dan solidariti terhadap para aktivis.

Media sebelum ini melaporkan kesemua 428 aktivis GSF 2.0 termasuk 29 rakyat Malaysia yang ditahan Israel di perairan antarabangsa telah dibebaskan.

Bagaimanapun, seorang lagi aktivis Malaysia, Razman Mat Ali, masih menjalani rawatan di Istanbul, Turkiye selepas disahkan mengalami ‘Traumatic Pneumothorax’ atau paru-paru bocor akibat ditumbuk tentera Israel.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.