Keluarga Zulfiqar mahu kes pemandu mabuk disiasat mengikut Seksyen 302

11 Jun 2026, 2:03 PM
Keluarga Zulfiqar mahu kes pemandu mabuk disiasat mengikut Seksyen 302

PETALING JAYA, 11 JUN: Keluarga mangsa kemalangan, Allahyarham Zulfiqar Zamir Amirul Nizam mahu pemandu yang didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan mangsa meninggal dunia, disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Adik Allahyarham, Nur Amirah Afra, 25, berkata sebelum ini kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana abangnya masih hidup.

“Kami hanya mahukan keadilan untuk arwah dan tidak akan berhenti hingga tindakan sewajarnya diambil selain berharap kes ini dapat disiasat berdasarkan fakta bahawa arwah meninggal dunia akibat kemalangan tersebut,” katanya kepada pada sidang media di sini hari ini.

Nur Amirah Afra berkata abangnya meninggal dunia 18 hari lepas setelah 13 hari bertarung nyawa di hospital, namun keluarga masih menunggu perkembangan siasatan daripada pihak berkuasa dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pegawai penyiasat.

Wanita itu berkata keluarganya juga berharap kes itu dapat melalui proses perundangan dengan sewajarnya kerana bimbang pemandu yang diikat jamin itu boleh mengulangi kesilapan sama.

“Kematian abang memberi kesan besar kerana Allahyarham merupakan antara penyumbang utama pendapatan keluarga. Kami sangat terkilan kerana kematian abang berpunca daripada kesalahan orang lain," katanya.

Nur Amirah Afra berkata Allahyarham yang merupakan anak sulung daripada empat beradik bekerja sebagai penasihat servis sebuah syarikat automotif selain turut membuat kerja sambilan sebagai persediaan untuk mendirikan rumah tangga pada Disember ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Lim Jit Huey ketika dihubungi berkata kertas siasatan berhubung kes berkenaan telah diserahkan dan pihaknya kini menunggu arahan lanjut serta keputusan Timbalan Pendakwa Raya.

Pada 18 Mei lepas, seorang pembantu perancang acara sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Klang atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kecederaan parah kepada seorang penghantar p-hailing.

Low Kean Peng, 35, didakwa memandu sebuah kenderaan dengan kadar alkohol 196 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah, melebihi had 146 mg alkohol dalam 100 ml darah hingga menyebabkan kecederaan parah terhadap Zulfiqar di Persiaran Kota di sini pada 12.35 tengah malam, 13 Mei lepas.

Pada 25 Mei lepas, Zulfiqar, 27, meninggal dunia selepas 13 hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.