Dengar dentuman kuat, saksi trauma lihat dua beradik jatuh pangsapuri

8 Jun 2026, 4:40 AM
Dengar dentuman kuat, saksi trauma lihat dua beradik jatuh pangsapuri

SHAH ALAM, 8 JUN: Seorang wanita mengakui masih trauma selepas menyaksikan dua beradik terjatuh dari sebuah pangsapuri di Tampoi, Johor Bahru dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 8 pagi semalam.

Wanita dikenali sebagai Irainany berkata ketika kejadian dia berada di kolam renang di tingkat tujuh bersama suami, bayi mereka serta seorang pekerja pembersihan.

Menurutnya, suasana ketika itu sunyi sebelum mereka terdengar bunyi dentuman kuat yang mengejutkan semua yang berada di lokasi.

“Tak boleh lupa betapa cemasnya kami ketika itu apabila nampak seorang kanak-kanak perempuan jatuh selepas dengar bunyi yang kuat.

“Selepas itu, ramai jiran yang ke lokasi. Sampai kini saya masih trauma teringat kejadian.

“Ketika itu suami menyerahkan bayi kepada saya dan ke lokasi kanak-kanak itu terjatuh,” katanya menerusi perkongsian di Instagram seperti dilapor Harian Metro.

Irainany berkata dia bersama suami dan beberapa individu lain ketika itu buntu melihat keadaan mangsa yang terbaring di bawah bangunan.

Menurutnya, selang beberapa minit kemudian mereka sekali lagi dikejutkan dengan bunyi kuat sebelum mendapati seorang lagi kanak-kanak terjatuh di lokasi sama.

“Suami kemudian menghubungi ambulans dan meminta bantuan jiran lain,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk yang tinggal di tingkat 13 pangsapuri berkenaan berkata dia masih terkejut dengan kejadian tersebut.

Menurutnya, kanak-kanak terbabit dikenali sebagai Irfan dan adiknya, Puteri.

“Selepas beberapa minit kejadian ibunya ke lokasi dan saya sempat memeluk ibu mereka bagi memastikan dia tenang,” katanya menerusi ruangan komen.

Difahamkan, kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital, manakala abangnya yang berusia 10 tahun masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha mengesahkan kejadian dan berkata pihaknya akan mengeluarkan kenyataan lanjut selepas siasatan selesai dijalankan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.