SHAH ALAM, 11 JUN: Hanya kerana membunyikan hon untuk meminta laluan, seorang lelaki cedera ditetak dengan pisau pemotong daging dalam kejadian di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata kejadian kira-kira jam 7 pagi itu berlaku ketika mangsa berusia 45 tahun sedang menunggang motosikal menuju ke tempat kerjanya di Kuala Lumpur.
Menurutnya, mangsa dipercayai membunyikan hon terhadap seorang lagi penunggang motosikal kerana menghalang laluan.
“Suspek lelaki tempatan berumur 43 tahun yang juga menunggang motosikal, dipercayai tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa kerana membunyikan hon.
“Akibat daripada itu, suspek telah berhenti di tepi jalan dan kemudiannya menetak mangsa dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk kepala dan lengan.
Katanya, mangsa telah dihantar ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
“Suspek berjaya ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut supaya tampil membantu siasatan dengan hadir ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohammad Amirul Zulkifli di talian 012-5583436.
Terdahulu, rakaman video kejadian itu tular di media sosial yang memaparkan seorang lelaki terbaring di tepi laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan, manakala seorang lagi lelaki dilihat mengacukan pisau pemotong daging ke arahnya.







