SHAH ALAM, 17 MAC: Wakil rakyat Meru akan mengadakan pertemuan bersama penduduk Taman Meru Makmur selepas Aidilfitri bagi mencari penyelesaian isu projek perumahan yang masih gagal memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) walaupun telah berlarutan lebih dua dekad.
Mariam Abdul Rashid berkata masalah itu berpunca daripada kegagalan pemaju menyiapkan projek, termasuk pembinaan loji kumbahan oleh Indah Water Konsortium (IWK) yang terbengkalai, selain pemaju yang kini tidak dapat dikesan.
“Saya amat bersimpati dengan nasib penduduk yang sekian lama menunggu penyelesaian. Isu ini akan diberi perhatian serius dan kita akan mencari jalan penyelesaian yang tuntas demi kesejahteraan mereka.
“Kita tidak boleh biarkan masalah rumah tanpa CCC ini terus berlarutan kerana ia melibatkan hak dan kebajikan penduduk yang telah lama menetap di kawasan ini,” katanya kepada Media Selangor.
Menurut beliau, lebih 100 unit rumah bagi satu fasa terjejas, manakala beberapa fasa lain di taman berkenaan turut berdepan masalah sama.
Mariam berkata pihaknya akan berhubung dengan Pejabat EXCO Perumahan bagi membincangkan langkah lanjut serta mendapatkan pandangan terhadap tindakan yang boleh diambil.
“Dalam masa sama, saya juga akan menghubungi wakil penduduk bagi fasa lain supaya penyelesaian yang lebih menyeluruh dapat dilaksanakan,” katanya.
Tambahnya, pengumpulan dokumen berkaitan akan dilakukan sebelum isu itu dirujuk secara rasmi kepada Kerajaan Negeri.
“Saya akan kumpulkan maklumat lengkap daripada penduduk dan menyediakan surat rasmi kepada EXCO Perumahan, Dato’ Borhan Aman Shah bagi mendapatkan maklum balas serta cadangan penyelesaian.
“Insya-Allah, pertemuan susulan akan diadakan selepas Aidilfitri bagi memperincikan tindakan dan memastikan isu rumah tanpa CCC ini dapat diselesaikan sebaiknya,” katanya.








