SHAH ALAM, 11 JUN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang meneliti Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) serta peraturan berkaitan sebagai persediaan ke arah pindaan akta tersebut.
Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata terdapat keperluan penambahbaikan akta tersebut bagi membolehkan pengurusan strata ditambah baik mengikut keperluan semasa.
“Akta 757 berkaitan dengan pengurusan strata yang mana ia telahpun diadakan, diwujudkan sejak tahun 2013. Dan sekarang berdasarkan pengalaman yang bertambah kemajuan yang semakin dinamik di seluruh negara memerlukan kita untuk memindanya.
“Tapi kita sedang di peringkat meneliti semula balik. Konvensyen ini akan memberikan input kepada kita di peringkat jabatan perumahan negara khususnya kementerian apa lagi yang mungkin kita perlu lihat dalam pada usaha kita memindanya.
“(Pindaan) Memang sangat penting sebab pada waktu ini kita tengok negara kita banyak beralih kepada perumahan berstrata dengan bertambahnya penduduk dan pada masa yang sama ruang yang sangat terbatas,” katanya hari ini.
Terdahulu, berucap pada Persidangan Strata 2026: Ke Arah Pengurusan Strata Kelas Pertama, beliau memaklumkan pemberian elaun Ahli Jawatankuasa Pengurusan Berstrata bagi mengatasi ketidakseragaman kriteria penilaian di peringkat Pesuruhjaya Bangunan (COB).
“Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikuatkuasa sejak 3 Jun lalu itu juga membendung risiko penyusutan dana penyenggaraan bangunan akibat penetapan kadar elaun yang tidak munasabah.
“Diharap penguatkuasaan SOP ini dapat meminimumkan aduan salah laku kewangan serta memastikan tadbir urus skim strata kekal mampan dan berintegriti,” ucapnya.
Terdahulu, persidangan itu menghimpunkan kira-kira 130 individu terdiri penggubal dasar, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pengamal industri, pemaju hartanah, badan pengurusan bersama, perbadanan pengurusan, ejen pengurusan serta profesional.
Persidangan anjuran Majlis Perbandaran Kuala Selangor itu membincangkan isu-isu semasa, cabaran dan hala tuju pengurusan strata ke arah mencapai standard pengurusan yang lebih cemerlang, mampan dan berdaya saing.







