SHAH ALAM, 21 DIS: Sekurang-kurangnya enam projek perumahan kos rendah dan sederhana dikenal pasti untuk tindakan penyelesaian isu hak milik strata tahun depan, maklum EXCO perumahan.
Datuk Borhan Aman Shah berkata tindakan penyelesaian itu dianggarkan melibatkan kira-kira 2,000 petak yang telah dikenal pasti Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) antaranya sekitar Klang.
“Perkara tersebut masih dalam proses pengesahan di peringkat pihak berkuasa berkaitan sebelum dimuktamadkan bersama Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).
“Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga sedang mengenal pasti beberapa lagi projek lain yang berpotensi untuk turut diselesaikan mengikut keutamaan dan kesediaan teknikal,” katanya kepada Media Selangor.
Jelasnya, buat masa ini, anggaran kos terperinci masih belum dapat dimuktamadkan, manakala pelaksanaan projek pula hanya akan ditentukan selepas semua proses pengesahan teknikal dan kelulusan selesai sepenuhnya.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor komited menyelesaikan isu perumahan berstrata secara menyeluruh melalui tiga fokus utama melibatkan pemilikan strata, menaik taraf infrastruktur dan pembangunan sosial komuniti.
Menurut Amirudin ia bagi menjamin penyelesaian holistik, khususnya di kawasan pangsapuri dan pangsapuri kos rendah berusia lebih 50 tahun.
Amirudin berkata Selangor turut mewujudkan Insentif Dana Strata Selangor (DSS) yang dilancarkan pada 30 Mei lalu sebagai langkah penting untuk menyelesaikan isu hak milik strata dengan anggaran kira-kira 600 skim perumahan melibatkan lebih 130,000 petak belum memilikinya.


