AS serang infrastruktur awam di Iran, 20,000 penduduk terputus bekalan air

11 Jun 2026, 1:00 AM
AS serang infrastruktur awam di Iran, 20,000 penduduk terputus bekalan air

TEHRAN, 11 JUN: Ribuan penduduk di kawasan pantai selatan Iran terputus bekalan air ekoran serangan udara oleh Amerika Syarikat (AS) pada sebelah malam yang memusnahkan infrastruktur awam, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik media Iran pada Rabu.

Bekalan air minuman ke Bandar Kuhestak di Wilayah Hormozgan serta 10 perkampungan lain dilaporkan terputus sepenuhnya, lapor Agensi Berita Mehr yang memetik kenyataan seorang pegawai kerajaan.

"Kesan daripada insiden ini, lebih 20,000 penduduk di rantau berkenaan yang sememangnya hidup dalam keadaan iklim yang sukar dan cuaca panas melampau, kini terputus akses kepada bekalan air," menurut laporan itu.

Media Iran turut menyiarkan foto yang menunjukkan tangki takungan air yang musnah. Suhu di kawasan pesisir pantai selatan Iran ketika ini dilaporkan melonjak jauh melebihi 30 darjah Celsius.

Pertempuran antara AS dan Iran kembali tercetus seketika pada sebelah malam, sekali lagi menguji perjanjian gencatan senjata rapuh yang telah berkuat kuasa sejak April lepas.

Menurut Presiden AS Donald Trump, serangan terbaharu Amerika ke atas Iran itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap tindakan tentera Iran menembak jatuh sebuah helikopter tentera AS di luar pantai Oman pada Isnin malam.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan balas ke atas pangkalan-pangkalan AS di rantau Teluk serta di Jordan, lapor media Iran.

-- BERNAMA-dpa

Kategoriglobal

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.