ISTANBUL, 4 OKT: Menteri Luar Iran Abbas Araghchi pada Ahad berkata tiada penyelesaian secara ketenteraan bagi konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, sambil menegaskan perang itu juga tidak dapat diselesaikan menerusi sekatan tambahan, yang dilihat merujuk kepada sekatan Washington terhadap Tehran, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Tiada penyelesaian secara ketenteraan dan tiada penyelesaian berasaskan sekatan tambahan.
“Hanya penyelesaian berlandaskan rundingan, keadilan dan maruah diplomatik dapat menangani situasi ini serta menghasilkan penyelesaian muktamad untuk menamatkan perang dan pencerobohan yang menyalahi undang-undang terhadap Republik Islam Iran,” kata Araghchi ketika berucap kepada duta asing yang berpangkalan di Tehran, menurut agensi berita IRNA yang dikendalikan kerajaan.
Beliau memberi amaran bahawa sekiranya Washington mengambil tindakan ketenteraan selanjutnya, Tehran bersedia mengambil segala langkah yang perlu untuk “mempertahankan diri dengan kekuatan yang lebih besar”.
AS dan Israel melancarkan perang terhadap Iran pada 28 Feb. Tehran bertindak balas dengan serangan peluru berpandu dan dron di seluruh rantau itu serta secara efektif menutup Selat Hormuz, laluan strategik bagi bekalan tenaga. Tentera AS kemudian mengenakan sekatan laut terhadap pelabuhan Iran.
Usaha untuk menamatkan perang berterusan sejak perjanjian rangka kerja pada 18 Jun yang bertujuan membuka jalan kepada perjanjian damai muktamad meliputi pelayaran melalui laluan strategik itu serta program nuklear Iran.






