ISTANBUL, 1 SEPT: Iran pada Isnin memberi amaran bahawa mana-mana lokasi yang digunakan untuk melancarkan serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas wilayahnya akan menjadi sasaran, sambil menuduh Washington terus menggunakan wilayah, ruang udara dan kemudahan negara-negara serantau untuk menyerang Iran, lapor Anadolu Ajansi.
Markas Angkatan Tentera Iran dan Markas Pusat Khatam al-Anbiya mengeluarkan amaran itu dalam kenyataan bersama, dengan berkata AS terus menjalankan operasi sedemikian walaupun selepas amaran terdahulu dan jaminan daripada beberapa negara di rantau berkenaan.
Kedua-dua badan ketenteraan itu berkata Teheran menghormati kedaulatan negara jiran tetapi "tidak akan sesekali bertolak ansur terhadap pencerobohan,” sambil memberi amaran bahawa sebarang serangan lanjut akan dibalas dengan tindakan yang "jauh lebih hebat”.
Mereka merujuk serangan yang dilancarkan semalaman oleh Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dan tentera Iran sebagai contoh tindak balas berkenaan.
"AS tiada pilihan selain meninggalkan rantau ini,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memberi amaran kepada pihak yang memudahkan tindakan ketenteraan AS bahawa IRGC dan tentera Iran akan bersama-sama menyerang punca sebarang serangan dengan "kekuatan yang dahsyat”.
"Jangan uji” keazaman angkatan tentera Iran," menurut kenyataan itu.
Pada Ahad, tentera AS menyerang dua pelancar Iran di Pulau Larak berhampiran Selat Hormuz, menyebabkan dua orang terbunuh dan dua lagi cedera, menurut media Iran.
Iran kemudiannya mengumumkan serangan balas terhadap lokasi yang digunakan tentera AS di Jordan dan Emiriah Arab Bersatu.







