SHAH ALAM, 25 FEB: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merancang membina sekolah menengah baharu di Pekan Batu 18, Hulu Langat dan Pekan Semenyih bagi menangani isu kesesakan pelajar di institusi sedia ada, kata menterinya Fadhlina Sidek.
Menerusi jawapan bertulis di Parlimen, semalam, beliau memaklumkan semua sekolah menengah di kedua-dua kawasan berkenaan kini beroperasi dua sesi selain mempunyai jumlah kelas melebihi kapasiti bilik darjah fizikal.
Sekolah terbabit ialah SMK Abdul Jalil dan SMK Dusun Nanding di Pekan Batu 18, serta SMK Engku Husain, SMK Bandar Rinching dan SMK Bandar Tasik Kesuma di Pekan Semenyih.
Bagi mengatasi kesesakan di Pekan Batu 18, Fadhlina berkata berdasarkan penilaian KPM, terdapat keperluan mendesak untuk membina sebuah sekolah menengah baharu, namun tapak bersesuaian masih belum dikenal pasti.
"JPN Selangor sedang mengenal pasti tapak cadangan bagi tujuan perolehan tanah untuk pembinaan sekolah menengah baharu di kawasan terbabit.
"Setelah urusan perolehan dan pemilikan tapak cadangan tersebut diselesaikan, KPM akan mengemukakan permohonan kepada agensi pusat bagi pembinaan sekolah
menengah baharu dalam Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT)," katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan berhubung keperluan menambah sekolah menengah di kawasan berkepadatan tinggi dalam kawasannya.
Sebagai langkah jangka pendek, beliau berkata KPM telah menambah tiga bilik darjah di SMK Dusun Nanding tahun lalu menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS), yang siap pada Oktober dan mula digunakan awal tahun ini.
Berhubung Pekan Semenyih, Fadhlina berkata KPM meluluskan pengambilan tanah bagi pembinaan SMK Eco Majestic di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) 2023 dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kira-kira 7.5 kilometer dari Pekan Semenyih.
Beliau berkata kementerian juga merancang mengemukakan semula cadangan pembinaan SMK Prima Saujana di bawah RP3 2028 dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), selepas permohonan bagi tahun 2027 tidak diluluskan.
Tambahnya, kementerian turut mengenal pasti tanah sumbangan pemaju di Bandar Sunway Semenyih, kira-kira 3.6 kilometer dari Pekan Semenyih, bagi pembinaan sebuah lagi sekolah menengah pada masa hadapan.
"KPM akan mengemukakan permohonan pembinaan sekolah menengah baharu tersebut kepada Kementerian Ekonomi dalam Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT), setelah urusan perolehan dan pemilikan tapak berkenaan diselesaikan," katanya.




