SHAH ALAM, 8 JUN: Sejumlah RM181,000 diperuntukkan bagi pemasangan 25 unit lampu jalan solar LED di beberapa lokasi sekitar Bukit Lanjan bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan penduduk.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Pua Pei Ling berkata pemasangan itu melibatkan kawasan kampung, perumahan, komersial serta lokasi tumpuan awam yang dikenal pasti memerlukan penambahbaikan pencahayaan.
“Usaha mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Negeri bagi pemasangan lampu jalan solar LED di beberapa lokasi sekitar Bukit Lanjan telah berjaya direalisasikan.
“Kemudahan asas seperti pencahayaan yang baik mungkin kelihatan kecil, namun impaknya besar dalam meningkatkan keselamatan awam, mengurangkan risiko jenayah serta mewujudkan persekitaran lebih kondusif untuk aktiviti masyarakat dan ekonomi setempat,” maklumnya di Facebook.
Beliau berkata daripada jumlah itu, RM85,000 diperuntukkan bagi pemasangan 10 unit lampu jalan solar LED di Kampung Kepong Ulu dan Kampung Desa Aman di bawah seliaan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak.
Sementara itu, RM96,000 lagi digunakan bagi pemasangan 15 unit lampu jalan solar LED di sekitar Pasar Pagi Taman Desa Jaya, Padang Wangsa Permai Fasa 2 dan Taman Perindustrian Ehsan Jaya, yang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
“Kawasan yang sebelum ini agak gelap kini lebih terang, selesa dan selamat untuk peniaga, pelanggan serta penduduk setempat,” ujarnya.
Menurutnya, pemasangan itu turut merangkumi keseluruhan sistem lampu jalan solar LED termasuk tiang bagi memastikan kemudahan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat.
“Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian terhadap keperluan infrastruktur asas yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Usaha mempertingkatkan kemudahan awam seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kesejahteraan, keselamatan dan kualiti hidup penduduk terus terpelihara,” katanya







