KUALA LUMPUR, 8 JUN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 pada 12 Jun ini.
Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata mesyuarat yang bersekali dengan Mesyuarat Khas PRN Johor ke-16 itu diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-15 pada Jumaat lepas.
“Mesyuarat akan dipengerusikan Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun yang akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRN Negeri Sembilan.
"Antaranya tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Khairul Shahril berkata satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas itu.
DUN Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi dibubarkan secara rasmi Jumaat lepas.






