Rancang perluas kemudahan pusat kaunseling tampung permintaan tinggi

9 Jun 2026, 3:00 AM
Rancang perluas kemudahan pusat kaunseling tampung permintaan tinggi
Rancang perluas kemudahan pusat kaunseling tampung permintaan tinggi

SHAH ALAM, 9 JUN: Kemudahan Pusat Kaunseling Selangor (PKS) perlu diperluas dengan ruang lebih besar, selesa dan kondusif sejajar peningkatan perkhidmatan kaunseling dalam kalangan masyarakat.

Pegawai Psikologinya Faridah Abdul Jalil @ Abas berkata cadangan itu sedang diteliti Kerajaan Negeri bagi memastikan pusat berkenaan memberi perkhidmatan terbaik kepada individu memerlukan.

“Kita mahu fasiliti yang lebih lengkap dan terapeutik supaya perkhidmatan yang diberikan dapat dipertingkatkan mengikut keperluan semasa dan selari zaman,” katanya kepada Media Selangor.

Menurutnya, seramai 29 petugas terlatih ditempatkan di pusat berkenaan untuk mengendalikan pelbagai kes kesihatan mental secara percuma termasuk kecenderungan mencederakan diri.

Tambahnya, pusat itu turut mempunyai lima pakar psikologi klinikal berdaftar bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menawarkan penilaian dan ujian psikologi khusus.

“Perkhidmatan psikologi klinikal di luar agak mahal, tetapi di sini masyarakat boleh mendapatkannya secara percuma dan dengan lebih mudah,” katanya.

Dalam pada itu, Faridah menganggap PKS yang diwujudkan sekitar 1990-an sesuatu yang unik berikutan tiada perkhidmatan seumpamanya pernah dilaksanakan di negeri lain.

Selain itu, katanya, Talian Sehat, inisiatif yang menyediakan khidmat kaunseling atas talian secara percuma dikendalikan 15 petugas untuk membantu individu yang memerlukan sokongan emosi.

“Ada panggilan yang diterima dalam keadaan individu itu benar-benar tertekan dan memerlukan bantuan segera,” katanya lagi.

Pada 5 Julai 2024, media melaporkan tekanan hidup di bandar dan keganasan domestik dikenal pasti antara punca masalah mental dalam kalangan penduduk di negeri ini.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata ia turut dipengaruhi aspek ekonomi, pekerjaan dan situasi keluarga, yang turut dihadapi kebanyakan penduduk di negeri lain.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.