SHAH ALAM, 23 JULAI: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bersama Esports Integrated (ESI) komited menyokong pembangunan atlet negeri denganmenyalurkan sumbangan kepada Selangor Red Giants (SRG) Esports sebagai persediaan menghadapi Mid Season Cup (MSC) di Piala Dunia E-sukan (EWC) 2026 di Paris.
Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata sumbangan itu mencerminkan komitmen berterusan MBI dalam memperkasa bakat tempatan dan mengangkat industri e-sukan negara ke peringkat antarabangsa.
“Di MBI, kami komited untuk menyokong inisiatif yang memperkasa bakat tempatan serta mewujudkan peluang dalam pembangunan dan pertumbuhan belia Selangor.
“Pencapaian SRG mencerminkan potensi serta keupayaan bakat e-sukan dalam Malaysia dan kami berbangga dapat menyokong perjalanan mereka dalam membawa nama Selangor dan Malaysia ke pentas global,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, sumbangan bersama MBI dan ESI itu diharapkan dapat menyumbang kepada perkembangan berterusan industri e-sukan selain menggalakkan pengiktirafan lebih meluas terhadap bakat Malaysia di peringkat bertaraf antarabangsa.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata bantuan yang diterima bukan sekadar sokongan kewangan, sebaliknya menjadi suntikan semangat kepada pasukan menjelang kejohanan berprestij itu.
“Sumbangan daripada MBI dan ESI ini bukan sekadar sokongan kewangan, malah merupakan satu suntikan keyakinan terhadap kemampuan para pemain, barisan jurulatih serta masa depan e-sukan Malaysia.
"Kami menuju ke Paris dengan satu matlamat yang jelas iaitu untuk bersaing dengan pasukan terbaik dunia, membawa nama Selangor dan Malaysia dengan penuh kebanggaan serta mencipta sejarah sekali lagi,” katanya.
SRG yang muncul juara Liga Profesional Mobile Legends Malaysia (MPL Malaysia) selama lima musim berturut-turut kini sedang giat menjalani persiapan termasuk latihan taktikal, analisis pihak lawan, kecergasan fizikal, persediaan mental dan pemantapan kerjasama berpasukan.
Pasukan itu akan memulakan saingan EWC 2026 yang berlangsung 22 Julai hingga 1 Ogos ini dalam Kumpulan B pada 23 Julai dengan misi meneruskan kecemerlangan serta mengharumkan nama Selangor dan Malaysia di pentas e-sukan dunia.






