SRG tekad pertahan reputasi pasukan elit, sasar podium MSC x EWC di Paris

24 Jul 2026, 9:00 AM
SRG tekad pertahan reputasi pasukan elit, sasar podium MSC x EWC di Paris

SHAH ALAM, 24 JULAI: Berbekalkan rekod cemerlang di pentas antarabangsa, Selangor Red Giants (SRG) terus mengekalkan fokus dan disiplin tinggi ketika beraksi dalam saingan Mid Season Cup (MSC) x Esports World Cup (EWC) 2026 di Paris, Perancis.

Pengurus Komuniti SRG, Hazim Muhammad Salihuddin berkata mewakili Malaysia dalam kejohanan bertaraf dunia itu menjadi satu kebanggaan buat SRG, selain mendorong pasukan untuk memberikan persembahan terbaik.

Menurutnya, kejayaan dalam e-sukan tidak hanya bergantung kepada strategi permainan, sebaliknya memerlukan persediaan menyeluruh merangkumi aspek taktikal, kecergasan fizikal, kesihatan dan mental pemain.

“Selain aspek taktikal, kami turut memberi perhatian kepada kecergasan fizikal dan persediaan mental pemain.

“Malah, semua pemain menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum berlepas ke Paris bagi memastikan mereka berada pada tahap terbaik,” katanya.

Hazim berkata, latihan konsisten serta analisis terhadap pasukan lawan menjadi elemen penting bagi membolehkan pemain membuat penyesuaian strategi sepanjang kejohanan.

Pasukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Malaysia, Selangor Red Giants (SRG) beraksi pada saingan MSC x Esports World Cup (EWC) 2026 di Paris Expo Porte de Versailles, Perancis yang berlangsung dari 22 hingga 27 Julai 2026. Foto Facebook Selangor Red Giants Esports

Beliau berkata, sokongan daripada Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bersama Esports Integrated (ESI) turut membantu memperkukuh perjalanan SRG, bukan sahaja dari aspek kewangan tetapi juga pembangunan organisasi serta infrastruktur e-sukan.

“Kami mengamalkan budaya ‘reset’ selepas setiap kejayaan supaya pemain kekal bermotivasi dan tidak cepat berpuas hati dengan pencapaian yang diraih.

“Kami berharap Selangor terus menjadi peneraju pembangunan e-sukan negara serta menjadi contoh kepada negeri-negeri lain,” katanya.

Pasukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Malaysia, Selangor Red Giants (SRG) beraksi pada saingan MSC x Esports World Cup (EWC) 2026 di Paris Expo Porte de Versailles, Perancis yang berlangsung dari 22 hingga 27 Julai 2026. Foto Facebook Selangor Red Giants Esports

SRG kini beraksi dalam MSC x Esports World Cup (EWC) 2026 yang berlangsung sejak 22 hingga 27 Julai di Paris Expo Porte de Versailles, Perancis.

Pasukan itu menyasarkan penamat podium selepas mencipta sejarah sebagai juara MSC pada 2024 dan muncul naib juara pada edisi 2025.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.