SHAH ALAM, 8 JUN: Peningkatan kos sara hidup menyebabkan semakin ramai rakyat melakukan kerja sampingan, sekali gus meningkatkan keperluan perlindungan terhadap risiko kemalangan di luar waktu bekerja.
Pengerusi Jawatankuasa dan Pembangunan Antarabangsa Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC), Anuar Shuib berkata perubahan corak pekerjaan itu menjadikan Skim LINDUNG 24 Jam yang diperkenalkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) semakin relevan.
Menurutnya, skim berkenaan melengkapkan perlindungan sedia ada dengan memberi perlindungan terhadap kemalangan di luar waktu bekerja pada kadar caruman yang rendah.
“Perlindungan pun bagus sebab termasuk faedah perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, tanggungan kepada orang di bawah tanggungan.
“Selain itu, faedah pengurusan mayat, elaun layanan sentiasa, pemulihan jasmani dan juga faedah pendidikan kepada tanggungan,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata skim itu bukan pesaing kepada produk insurans kerana perlindungannya lebih tertumpu kepada pekerja berpendapatan RM6,000 dan ke bawah, manakala insurans menawarkan perlindungan yang lebih menyeluruh.
Anuar turut menjelaskan kadar caruman yang dilaksanakan secara berperingkat sehingga 1.25 peratus pada tahun keenam membolehkan perlindungan ditambah baik dari semasa ke semasa.
“Kalau kita lihat kos dia yang agak murah. Jadi, 0.75 peratus ini tidak membebankan dan perlindungan yang diberikan pun bagus.
“Bandingkan dengan kadar yang lain yang mana kalau kita ambil perlindungan yang melindungi sewaktu bekerja dan tidak bekerja, kos dia akan jadi lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, EXCO Kebajikan Pertubuhan Wartawan Jurugambar Selangor (WAJAR), Hanafi Mohamed berkata perlindungan di luar waktu kerja penting bagi memastikan pekerja dan keluarga tidak kehilangan sumber pendapatan sekiranya berlaku kemalangan, kecederaan serius atau kematian.
Menurutnya, skim berkenaan amat sesuai dengan realiti semasa apabila semakin ramai pekerja tetap, kontrak dan sambilan melakukan lebih daripada satu pekerjaan bagi menambah pendapatan.

“Pada masa kini warga kerja tetap, kontrak ataupun sambilan membuat dua atau tiga kerja bagi menampung kos sara hidup dan skim ini memberi perlindungan walaupun di luar waktu kerja hakiki,” katanya.
Beliau berkata keperluan perlindungan itu lebih ketara dalam industri yang memerlukan pekerja bertugas melebihi waktu kebiasaan sehingga menyebabkan keletihan dan meningkatkan risiko kemalangan.
“Industri media sering terlibat dengan kes yang mengambil masa panjang untuk diselesaikan. Contohnya kes budak lemas atau orang hilang atau seperti yang berlaku di Putra Heights.
“Mereka kadang-kala terpaksa bekerja sehingga lapan ke 12 jam atau seharian untuk berkampung di lokasi. Kesannya mereka akan burn out (keletihan melampau) seterusnya menyebabkan microsleep (terlelap) dan kemalangan,” tambahnya.
Dalam pada itu, Hanafi menyifatkan kadar caruman yang dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh enam tahun sebagai munasabah dan tidak memberi kesan ketara kepada pencarum.
Justeru, beliau menggalakkan lebih ramai pekerja termasuk golongan kontrak dan sambilan untuk mencarum bagi mendapatkan perlindungan yang ditawarkan.
“Saya melihat kadar caruman PERKESO ini tidaklah setinggi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebab ia bukan bertujuan untuk simpanan.
"Ia sebenarnya lebih kepada pampasan kemalangan waktu kerja ataupun hilang upaya, selain faedah kematian serta menampung kos rawatan atau pemulihan ketika mendapat rawatan,” katanya.








